Pages

Friday, March 8, 2013

Arnoud van Doorn kini beragama Islam


AMSTERDAM 6 Mac - Bekas anggota Parti Kebebasan, yang berhaluan kanan dan berfahaman anti-Islam Belanda, Arnoud van Doorn (gambar), mengejutkan ramai pihak dengan mengumumkan dia telah memeluk Islam baru-baru ini.
Van Doorn yang juga merupakan rakan karib pemimpin parti itu, Geert Wilders, sebelum ini pernah mengakui dia keluar daripada parti tersebut pada penghujung 2011.
Menurutnya, dia mahu melakukan perubahan dengan mengumumkan keputusannya kepada dunia melalui pengucapan kalimah Syahadah yang dimuat naik dalam laman Twitter miliknya.
"Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah," katanya dalam laman sosial itu.
Van Doorn turut mengumumkan dalam bahasa Belanda bahawa dia kini 'memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Islam.'
Dalam wawancara bersama Al-Jazeera.net, van Doorn mengesahkan berita mengenai tindakannya itu.
"Sesiapa yang mengenali saya secara dekat boleh meneka keputusan saya. Lebih setahun saya mendalami Islam melalui buku dan ceramah.
"Ramai yang terkejut dengan keputusan ini, terutama mereka yang tahu mengenai pendirian anti-Islam saya," katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas dia mendalami Islam tanpa paksaan.
"Kita semua pernah melakukan kesilapan. Namun, saya melihat setiap pengalaman hidup ada sebab yang tersendiri dan pengalaman saya sangat berkait rapat dengan keputusan saya," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130307/lu_05/Arnoud-van-Doorn-kini-beragama-Islam#ixzz2Ms6O5OiP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment