Pages

Monday, December 30, 2013

Lelaki tidak sangka beli lukisan jutaan ringgit


Fiona Bruce (kiri) menerangkan sesuatu kepada Jamie MacLeod tentang lukisan Anthony Van Dyck yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta. - AGENSI
LONDON 29 Dis. - Seorang paderi, Jamie McLeod tidak menyangka lukisan yang dibelinya di sebuah kedai antik di Cheshire pada harga 400 pound (RM2,165), sebenarnya boleh mencecah sehingga 400,000 pound (RM2.2 juta) selepas dikenal pasti merupakan karya pelukis terkenal, Anthony Van Dyck.
Perkara itu didedahkan pengacara rancangan televisyen Antiques Roadshow, Fiona Bruce selepas McLeod membawa lukisan itu ke Newstead Abbey Nottinghamshire, untuk dinilai.
Bruce yang baru-baru ini menghasilkan program televisyen tentang Van Dyck berpendapat, lukisan tersebut mungkin adalah karya asli pelukis itu dan menunjukkan lukisan terbabit kepada pakar penilai, Dr. Christopher Brown.
Brown mengesahkan karya itu dilukis oleh Van Dyck yang merupakan pelukis mahkamah untuk King Charles I dan ia dianggap karya terhebat pada abad ke-17.
Ini kerana lukisan yang memaparkan potret seorang majistret di Brussels itu dipercayai sebagai persediaan untuk menghasilkan lukisan yang lebih besar pada tahun 1634.
Bagaimanapun, lukisan utamanya dikatakan telah musnah pada tahun 1695, namun lukisan potret itu terselamat dan ditemukan di Nantwich, Cheshire.
McLeod berkata, dia membeli lukisan potret itu kerana tertarik dengan bingkai gambarnya yang berwarna emas.
"Perkara ini jarang berlaku dan kemahiran yang ditunjukkan Van Dyck dalam lukisan berkenaan sangat mengagumkan," katanya.
Lukisan tersebut akan dijual oleh McLeod bagi menampung perbelanjaan membaik pulih loceng gerejanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131230/lu_07/Lelaki-tidak-sangka-beli-lukisan-jutaan-ringgit#ixzz2ovf7gigB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment