Pages

Thursday, December 5, 2013

Lelaki habiskan sandwic gergasi


Aksi James Brettle ketika menghabiskan sandwich gergasi pada pertandingan makanan di sebuah restoran di Southend-on-Sea, Essex, baru-baru ini. - AGENSI
LONDON 4 Dis. - Seorang lelaki kurus Britain mempamerkan kehebatannya berjaya menghabiskan sebiji sandwic gergasi seberat 2.49 kilogram mengandungi 8,000 kalori dengan hanya mengambil masa 36 minit.
James Brettle, 26, menjadi orang pertama menghabiskan sandwic gergasi terbabit mengatasi 116 peserta lain pada pertandingan makanan di restoran Mangetout Bistro, Southend-on-Sea, Essex.
Brettle, seorang juruukur bertauliah, berjaya menghabiskan sandwic bersaiz seorang bayi kecil yang mengandungi sosej, empat jenis daging dan kentang selain pelbagai jenis keju, telur, tomato, timun, salad, mayonis, sos barbeku, mustard dan bawang.
Ramuan sandwic berkenaan terletak antara enam lapisan roti, dan peserta perlu membayar sebanyak 17.95 pound (RM93.30) jika gagal menghabiskannya dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 45 minit.
Brettle memenangi sehelai baju khas, Gigantwich dan wang sebanyak 116 pound (RM602) yang dikumpul daripada setiap peserta yang gagal menghabiskan hidangan masing-masing.
Pemilik restoran, Will Fishenden berkata, dia menawarkan cabaran menghabiskan sandwic berkenaan selama setahun namun semua peserta gagal melakukannya sehinggalah kejayaan Brettle pada Sabtu lalu.
"Idea ini diambil berdasarkan rancangan Man vs Food (Manusia lawan Makanan) dan saya menganjurkan cabaran tersendiri dengan menghasilkan sandwic gergasi.
"Saya kagum melihat keupayaan Brettle menghabiskan sandwic gergasi yang disediakan kerana dia hanya mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding peserta lain," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131205/lu_09/Lelaki-habiskan-sandwic-gergasi#ixzz2mYDCdH00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment