AGAM, Sumatera Barat - Kerana terlalu pintar, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di daerah ini berhenti sekolah setelah tahap kepandaiannya melebihi rakan sebayanya.
Muhammad Rizki Ramadan hanya sempat bersekolah rendah selama enam bulan selepas dia dikatakan sering mengganggu proses pembelajaran murid-murid lain.
Menurut ayah Rizki, Mayunis, pada usianya yang masih muda, anaknya sudah fasih berbahasa asing antaranya bahasa Inggeris, India dan Mandarin.
Katanya, semua bahasa yang dikuasai Rizki dipelajarinya sendiri tanpa bantuan guru.
"Dulu dia bersekolah di tadika Simpang Balai, semasa kami tinggal di Cangkiang dan menamatkan pelajarannya sehingga habis.
"Namun setelah memasuki Sekolah Rendah Cangkiang, dia hanya belajar selama enam bulan. Hal ini kerana, Rizki tidak mahu menerima penerangan tentang sesuatu subjek lebih dua kali dan sekiranya lebih, dia terus mahu keluar dari kelas,'' kata Mayunis kepada okezone.com.
Mayunis berkata, kepintaran Rizki mula dikesan sejak dia mula pandai bercakap pada usia dua tahun.
"Dia belajar daripada buku dan televisyen. Sekiranya stesen televisyen menyiarkan filem, Rizki tidak mahu menontonnya kerana dia lebih menggemari rancangan berita, politik dan bola sepak.
"Sejak kecil lagi, Rizki sudah petah berbicara, membaca, melihat televisyen sekali lalu dan memahami perkara yang disampaikan serta membaca begitu sahaja tanpa belajar atau diajarkan,'' katanya.
Ketika ini, Rizki ingin kembali bersekolah, namun keadaan ekonomi keluarganya menghalang niat murninya itu. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131116/lu_08/Berhenti-sekolah-kerana-terlalu-pintar#ixzz2kmOACZlD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment