Pages

Saturday, October 12, 2013

Pusat beli-belah berusia 2,700 tahun ditemui


Sekumpulan ahli arkeologi menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sebuah struktur pusat beli-belah berusia 2,700 tahun di Argilos, utara Greece, baru-baru ini. - AGENSI
ATHENS 11 Okt. - Sekumpulan ahli arkeologi dari Kanada dan Greece menemui sebuah struktur pusat beli-belah tertua di dunia, berusia 2,700 tahun di tapak arkeologi di Argilos, utara negara ini, baru-baru ini.
Struktur dikenali sebagai portico itu merupakan binaan terbuka yang panjang, biasanya menempatkan rumah kedai dan memisahkan dataran awam dari bandar.
Pakar arkeologi dari Universiti Montreal, Dr. Jacques Perreault berkata, portico yang ditemukan di Argilos merupakan pusat beli-belah tertua di Greece dan sangat unik.
Perreault berkata, kerja-kerja penggalian dilakukan sejak Jun lalu dan ukuran panjang pusat beli-belah itu mencapai kira-kira 40 meter.
Jelasnya, pusat beli-belah terbuka itu mempunyai tujuh bilik dengan setiap satu berukuran 5 meter lebar dan 7.5 meter dalam, serta memiliki dinding setinggi 2.5 meter.
"Teknik pembinaan dan batu yang digunakan berbeza dalam setiap bilik, menunjukkan penglibatan beberapa tukang bina dalam pembinaan pusat beli-belah terbabit.
"Kajian ini juga menunjukkan setiap pemilik kedai mungkin bertanggungjawab membina bilik masing-masing yang menjadi ruang perniagaan peribadi," jelasnya.
Perreault berkata, struktur lama itu mempunyai sebuah kedai roti, sebuah kedai minyak zaitun dan sebuah kedai menjual ubat-ubatan serta peralatan solek yang masih belum dapat dipastikan.
Tapak arkeologi di bandar lama Argilos terletak di hujung Sungai Aegean dan pernah mencipta kegemilangan pada abad kelima sebagai bandar termasyur di rantau ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131012/lu_04/Pusat-beli-belah-berusia-2700-tahun-ditemui#ixzz2hTJWPTuw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment