Pages

Sunday, September 29, 2013

Duta Besar Paraguay di Indonesia peluk agama Islam


Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion (dua dari kiri) memegang naskhah al-Quran semasa mengucapkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali (kiri sekali) dalam satu majlis di Masjid Istiqlal, Jakarta, kelmarin. - Agensi
JAKARTA 28 Sept. - Selepas sekian lama tertarik dengan agama Islam, Duta Besar Republik Paraguay ke Indonesia, Cecar Estebon Grillion akhirnya memilih untuk memeluk agama itu selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid Istiqlal di sini, semalam.
Di hadapan ribuan jemaah yang selesai mengerjakan solat Jumaat dan disaksikan Menteri Agama, Suryadharma Ali, Grillion secara rasmi kini merupakan seorang penganut agama Islam.
Grillion dibimbing oleh Imam Besar Masjid Istiqlal, Ali Mustafa Yaqub ketika mengucapkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab.
Ribuan jemaah Masjid Istiqlal didengar mengucapkan Alhamdulillah sebaik-baik duta itu selesai melafazkan kalimah syahadah.
Menurut Grillion, beliau sudah lama tertarik dengan agama Islam.
"Saya mengenal Islam setelah membaca buku-buku mengenai Islam milik anak saya," ujarnya seperti yang dipetik dari laman web Kementerian Agama Indonesia.
Pada masa sama, Grillion juga mendapat hidayah untuk mendalami Islam melalui perkenalannya dengan seorang muslimah Indonesia, Yulie Setyohadi yang membuka hatinya untuk mempelajari agama itu.
"Saya berjanji saya memeluk agama Islam bukan atas dasar menukar agama sahaja, tetapi untuk menjadi seorang muslim yang baik dengan bantuan semua," jelas beliau.
Sementara itu, Suryadharma berharap, keputusan Grillion memeluk Islam dapat memberi inspirasi kepada saudara lain untuk sama-sama mengambil jalan yang diredai oleh Allah.
"Semoga imannya makin kuat, menjadi muslim yang soleh serta mematuhi perintah Allah," katanya.
Bagi Ali Mustafa yang membimbing Grillion pula, keinginan duta besar itu untuk memeluk agama Islam bukan disebabkan oleh tekanan atau kerana ingin bernikah dengan wanita Islam.
Sebaliknya, hasrat itu, katanya, bertitik tolak daripada hidayah yang diperoleh Grillion daripada Allah.
Keseriusan Grillion untuk memeluk agama Islam dapat dilihat melalui usahanya mendalami agama itu daripada tokoh agama tersohor Indonesia, Prof. Quraish Shihab selain dengan beliau sendiri sebagai Imam Besar Masjid Istiqlal.
Grillion juga berhasrat menukar namanya kepada Ibrahim.
"Saya cadangkan ditambah Muhammad pada awal nama itu," tambah Suryadharma pula.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130929/lu_04/Duta-Besar-Paraguay-di-Indonesia-peluk-agama-Islam#ixzz2gEgq3YqO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment