Pages

Wednesday, July 3, 2013

Pesawat Rafale, simbolik kekuatan Perancis

Pesawat Rafale
Pesawat Rafale
PARIS - Rafale, pesawat tempur pelbagai peranan kombat kebanggaan Perancis, adalah simbolik kepada kekuatan ketenteraan dan keunggulan dalam teknologi pertahanan negara berkenaan.  

Dihasilkan oleh Dassault Aviation, yang ditubuhkan pada 1949, keupayaan pesawat tempur yang sofistikated ini telah terbukti semasa penempatan tentera negara itu di Afghanistan, Libya dan Mali.  
  
Rafale kini antara pesawat pejuang yang terlibat dalam pembidaan program penggantian pesawat MiG-29N yang hampir tamat perkhidmatannya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).  
 
Pada 1995, TUDM telah membeli sejumlah 18 unit MiG-29N, namun sebuah daripada pesawat pejuang buatan Rusia itu terhempas di Kuantan pada 1998.
  
Rafale kini dioperasi oleh tentera udara dan laut Perancis dan pihak Dassault menjangkakan teknologi yang dimiliki oleh pesawat berkenaan mampu memastikan kelangsungan sistem pertahanan udara yang mantap sehingga 40 tahun akan datang.
  
Pesawat yang boleh mencapai sehingga dua kali kelajuan bunyi itu bukan sahaja memantapkan pertahanan udara, malah ia memacu perkembangan industri lain dan menjadi antara penyumbang utama pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara itu.
  
Wartawan Bernama baru-baru ini berpeluang melawat beberapa lokasi penting untuk rekabentuk, pemasangan, pengendalian dan operasi pesawat tempur, Rafale.
  
Catatan ini juga adalah lawatan eksklusif bersempena sambutan jubli emas Pameran Udara Antarangbangsa Paris, Le Bourget yang berlangsung dari 17-23 Jun lepas.
 
PENGGUNAAN TEKNOLOGI TERCANGGIH
 
Lawatan bermula di ibu pejabat Dassault Aviation di Saint Cloud yang terletak 2 km dari ibukota Paris dan adalah tempat bermulanya proses pembinaan pesawat berkenaan.
  
Menariknya, pembinaan Rafale tidak melibatkan lakaran secara fizikal, sebaliknya menggunakan lakaran digital maya secara tiga dimensi (3D) sepenuhnya menerusi perisian Catia.
  
Dibangunkan oleh Dassault Systemes, perisian Catia atau "Computer Aided Three-dimensional Interactive Application" adalah perisian 3D yang mempunyai keupayaan untuk berkongsi maklumat dan perkembangan pembinaan pesawat dengan pihak berkepentingan yang lain.
  
Menurut pengurus program kejuruteraan Dassault Aviation, Jerome Camps, teknologi pembuatan secara digital maya ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan telah membantu syarikat berkenaan menjimatkan kos pembuatannya kerana tidak memerlukan pembinaan prototaip atau mock-up secara fizikal.
  
"Teknologi maya 3D ini secara langsung telah membantu kami dalam proses merekabentuk, dokumentasi, servis, membuat alat ganti dan perkilangan secara serentak, dan kami tidak perlu membina prototaip yang sama secara fizikal berulang kali.
  
"Sebelum pesawat Rafale dibina, perisian ini membantu untuk mengenalpasti kecacatan dan ketidaksempurnaan dalam proses pembinaan pesawat apabila ia dapat diuji terus secara maya," ujar Camps.
  
"Dengan penggunaan kaedah lakaran digital maya seperti ini, Dassault berjaya membina Rafale dalam lingkungan peruntukan yang disediakan tanpa kos tambahan dan ini adalah kejayaan besar bagi kami," tambah beliau.
  
Selain Rafale, Dassault juga membina jet komersial peribadi seperti model Falcon, yang turut menggunakan perisian yang sama.
  
Di lokasi yang sama, kami kemudian dibawa ke "Immersive Reality Centre," yang digunakan oleh syarikat berkenaan untuk mempamerkan lakaran digital maya
sesebuah pesawat secara lebih terperinci.
  
Di sini, pelanggan diberi peluang melihat sendiri rekabentuk lakaran maya luaran dan dalaman yang diinginkan termasuk ukuran, warna dan lain-lain sebelum pesawat sebenar dihasilkan.
  
Selain itu, Dassault juga mengaplikasi sistem e-Squadron untuk penyelenggaraan atas talian dan mempunyai sistem Opera Touch untuk kegunaan juruterbang merancang operasi penerangan berasaskan pemetaan digital.

PEMASANGAN AKHIR RAFALE
   

Penerbangan dari Paris ke Bordeaux yang memakan masa kira-kira sejam 15 minit bagi melihat pemasangan akhir Rafale di kilang Dassault Aviation yang terletak di Merignac.
  
Pembinaan Rafale melibatkan pemasangan beberapa komponen yang dibuat di kilang yang berlainan di sekitar Perancis.
  
Pemasangan akhir Rafale mengambil masa kira-kira enam bulan dan kilang ini mampu memasang kira-kira 10 buah pesawat pelbagai guna itu dalam masa setahun.
  
Selepas siap pemasangan, Rafale akan turut menjalani "ground test" selama dua minggu di kilang ini, dan dalam tempoh itu ujian sistem avionik iaitu alat yang berhubungan dengan sistem navigasi, komunikasi dan persenjataan dalam pesawat tempur dijalankan selama seminggu.
  
Selain pemasangan, kilang ini digunakan bagi proses percubaan dan pemeriksaan terakhir pesawat oleh juruterbang bagi memastikan ia benar-benar selamat sebelum diserahkan kepada pelanggan.
 

SEJARAH KILANG PEMASANGAN DASSAULT
 
Kilang pemasangan ini telah beroperasi sejak 1949 dengan kapasiti pengeluaran pertama iaitu tiga buah pesawat model Flamant dalam masa sebulan.
  
Pembeli asing Dassault yang pertama ialah India iaitu pada 1953 dengan pembelian model Ouragan dan negara tersebut kini memiliki lima model pesawat keluaran dari syarikat Perancis ini.
 
Dengan keluasan sekitar 132,000 meter persegi dan 1,300 pekerja, kilang ini juga beroperasi bagi mengeluarkan model Falcon selain dari Rafale.
  
Kini dengan kemajuan yang dimiliki oleh Dassault, kilang ini mampu menghasilkan 70 buah pesawat setahun untuk model Rafale dan Falcon.
  
Proses pemasangan sehingga penghantaran Rafale biasanya memakan masa selama enam bulan sementara Falcon sekitar tiga bulan setengah.
 

PUSAT PENGKALAN TENTERA UDARA PERANCIS
 
Kem tentera udara Perancis, yang terletak di Saint Dizier, kini memiliki 47 buah pesawat Rafale yang dioperasikan sejak 2006.
  
"Sejak kejadian 11 Sept, persediaan untuk menerbangkan Rafale dipercepatkan dengan hanya memakan masa selama dua minit berbanding sebelumnya iaitu tujuh hingga 15 minit," kata Leftenan Kolonel Nicolas Lyaufey.
  
Lyaufey kini bertugas sebagai ketua operasi udara di satu daripada skuadron kem tentera udara berkenaan.
  
Beliau yang mempunyai pengalaman menerbangkan Rafale selama 1,000 jam berkata, kehebatan pesawat ini dirasai sendiri oleh beliau ketika terlibat dalam misi konflik di Mali.
  
Menceritakan pengalaman di Mali, Lyaufey berkata 60 peratus operasi pesawat Rafale dijalankan pada waktu malam.
  
"Rafale berkeupayaan menyasarkan enam peluru pada satu-satu masa dengan tepat," kata beliau sambil menambah kata bahawa misi di Mali mencapai 97 peratus kejayaan.
  
"Kami telah menempatkan enam buah pesawat Rafale di Mali dan menggugurkan lebih 80 butir bom menggunakan pesawat berkenaan," tambah beliau.


KEHEBATAN YANG TELAH TERBUKTI
 
Rafale, seperti juga pesawat pejuang dari syarikat terkemuka yang lain mempunyai kelebihan tersendiri dalam membida kontrak program penukaran pesawat MiG 29N.
  
Namun, apa yang membuatkan produk Dassault Aviation ini berbeza dengan pesaingnya yang lain ialah kehebatan pesawat pejuang berstatus omnirole ini sudah terbukti di medan peperangan berbanding pesawat dari syarikat lain yang masih di tahap prototaip.
  
Penggunaan omnirole oleh kerajaan Perancis untuk pesawat Rafale bertujuan untuk menggambarkan keupayaannya sebagai pesawat tempur udara ke udara, serangan udara ke permukaan, serangan udara ke laut, peninjauan dan menangkis serangan nuklear.
  
Namun adakah Rafale dapat memenuhi keperluan pertahanan Malaysia dan berbaloikah untuk melabur bagi pesawat jenis ini? Ini adalah sesuatu yang akan dipertimbang oleh RAMD dan Rafale sudah tentu menjadi satu daripada pilihan untuk dipertimbangkan. - Bernama

No comments:

Post a Comment