Pages

Monday, July 15, 2013

Arab Saudi potong kuota haji

Arab Saudi potong kuota haji
TINDAKAN Kerajaan Arab Saudi memotong kuota jemaah haji 20 peratus pada musim ini memberi tamparan kepada negara dunia. Selain Malaysia, negara paling menerima kesannya adalah
Indonesia, Pakistan dan Nigeria.

Langkah pemotongan itu dilakukan susulan terbatasnya ruang ibadah berikutan projek mega perluasan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Namun, tindakan Saudi melakukan pengumuman tiga bulan sebelum musim haji menimbulkan kemarahan kepada Kumpulan Pertubuhan Haji (HGO) dan Operator Pelancongan Swasta (PTO) apabila mendakwa, Saudi sengaja melewatkan pengumuman itu bagi melindungi pengendali haji di Saudi yang terlebih dahulu mengetahui tentang perkara tersebut.

Selain pengurangan jemaah haji, aktiviti umrah juga turut mendapat tempias apabila banyak pakej umrah terpaksa dibatalkan.

Berikutan arahan pemotongan kuota itu, HGP dan PTO dilihat paling mendapat kesan apabila mereka terpaksa berhadapan tuntutan ganti rugi sekali gus melenyapkan impian dan jemaah haji itu.

Media Saudi melaporkan, kerajaan telah mengarahkan semua negara supaya meminta rakyat mereka menangguhkan urusan haji pada musim ini.

Menteri Hal Ehwal Haji Saudi Dr Bandar Bin Muhammad al-Hajjar menjelaskan, kapasiti maksimum Masjidil Haram sebelum pengubahsuaian adalah 48,000 jemaah, tetapi sebaik projek pembesaran bermula jumlah jemaah di masjid tersebut hanya boleh menampung  20,000 orang sahaja.

“Kami memotong 20 peratus jemaah dari luar dan 50 peratus jemaah domestik. Mengikut rekod tahun lalu seramai, 3.161 juta jemaah berdaftar menunaikan ibadah itu namun kami percayai jumlah itu mencecah 4 juta di mana selebihnya adalah jemaah tidak berdaftar,” katanya.

Indonesia

Duta Besar Saudi ke Indonesia Mustafa Ibrahim Al Mubarak berkata, pengurangan kuota haji tahun ini terpaksa dilakukan.

“Langkah pemotongan kuota haji adalah untuk kebaikan semua pihak bagi memastikan jemaah dari seluruh dunia dapat beribadat dengan selesa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat memastikan sampai bila kuota itu kekal kerana projek pembesaran kedua-dua masjid itu yang bermula tahun lalu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Menteri Agama, Suryadharma Ali berkata, pihaknya akan berusaha melobi Saudi untuk mengekalkan kuota haji dari Indonesia seperti biasa.

“Kami akan suarakan masalah ini di Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk mengekalkan kuota ini kerana ia bersifat tuntutan dan bukan berasaskan kepada bilangan penduduk negara,” katanya.

Beliau berkata, kuota pemotongan itu sepatutnya tidak boleh diselaraskan kerana negara itu mempunyai populasi penduduk Islam terbesar dunia dengan lebih 240 juta dan antara negara paling ramai menunaikan haji berbanding negara lain.

“Tahun lalu kira-kira 1.9 juta orang berada dalam senarai menunggu. Sekiranya Saudi hanya membenarkan kuota 211,000 maka mereka perlu menunggu  sembilan tahun untuk menunaikan haji.

Suryadharma berkata, sehingga 12 Jun, seramai 167,500 bakal jemaah telah pun mendaftar dan segala kos haji telah dibayar.

Nigeria

Sumber pengusaha pelancongan Nigeria mendakwa, pengurangan jemaah ke Tanah Suci bermula Ramadan ini turut membabitkan mereka yang menunaikan umrah apabila gagal mendapatkan visa.

Akhbar Daily Trust melaporkan, kos mendapatkan visa ke Arab Saudi lebih mahal iaitu N300,000 (RM5,900) berbanding N85,000 (RM1,672) bagi tahun sebelumnya.

“Harga ini menyebabkan ramai membatalkan hasrat mereka menunaikan umrah kerana terlalu mahal“, kata sumber itu.

Jurucakap Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria (NAHCON) mengesahkan, sehingga kini pihak berkuasa Saudi tidak memberi alasan mengapa kos visa dinaikkan.

Kami yakin kenaikan kos ini menyebabkan HGO dan PTO terpaksa menaikkan kos tersebut atas faktor permintaan,” katanya.

Beliau berkata, visa umrah tahun ini hanya sah 15 hari berbanding 30 hari sebelum ini.

Bagaimanapun, Dr Bandar Al-Hajjar, menafikan kuota visa yang diberikan kepada HGO dan PTO dikurangkan kerana slot umrah itu diberikan sama seperti sebelum ini.

“Di bawah perjanjian baru, kuota visa diberikan setiap bulan dan ianya sah untuk tempoh 30 hari. Jika visa tidak digunakan pada bulan sama, visa tersebut dianggap batal,” katanya.

Menurutnya, terdapat syarikat pengendali umrah menyimpan visa yang diberikan untuk Rejab dan Sha’aban tetapi mereka menggunakannya bagi Ramadan.

“Perkara ini mengganggu rancangan kementerian dan sistem pengeluaran visa yang terikat dengan peruntukan perkhidmatan penginapan, pengangkutan dan lain-lain,” katanya.

Alasan Saudi

Selain kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram dan Nabawi, kerajaan Saudi memberi alasan pengurangan jemaah bagi membendung wabak jangkitan pernafasan Korona MERS yang kian menular.

Menteri Kesihatan berkata, setakat ini 62 kes disahkan mengidap MERS dan 34 pesakit meninggal dunia.

Pada mesyuarat kesihatan di Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Kaherah melaporkan, wabak MERS telah dimasukkan ke dalam pelan tindakan kecemasan kerana mudah berjangkit melalui udara.

Sementara itu, tindakan kerajaan melakukan pengubahsuaian kedua-dua masjid itu mendapat kritikan daripada kumpulan aktivis di Saudi apabila mendakwa pengubahsuaian itu melenyapkan sejarah ketika zaman Nabi Muhammad SAW.

“Kami tidak setuju dengan pengubah suaian itu kerana ia menghilangkan keaslian masjid yang pernah digunakan ketika zaman Rasullah,” kata ahli kumpulan itu.

No comments:

Post a Comment