Pages

Tuesday, June 25, 2013

Kota purba Korea Utara diiktiraf


Gambar bertarikh 24 April lalu, merakamkan sebahagian struktur akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik semasa era pemerintahan Dinasti Koryo di wilayah Hwanghae Utara, Korea Utara. - AGENSI
KAESONG 24 Jun - Tinggalan kota purba di wilayah Hwanghae Utara di selatan Korea Utara, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.
Kaesong yang menjadi ibu kota kepada Dinasti Koryo yang memerintah Korea Utara dan Korea Selatan dari 918 Masihi hingga 1392, terletak berhampiran kawasan industri Kaesong, yang terpaksa ditutup pada April lalu ekoran perselisihan antara kedua-dua negara terbabit.
Usaha Korea Utara untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut diluluskan pada mesyuarat UNESCO di Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Kaesong memiliki 12 tapak berasingan, termasuk makam Raja Kongmin, runtuhan Istana Manwoldae dan akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik ketika era itu.
"Peninggalan budaya bernilai itu menjadi kebanggaan negara kami dan terdapat juga tinggalan budaya berharga yang menunjukkan sejarah panjang negara Korea.
"Ada juga tinggalan yang telah disimpan dalam tempoh yang panjang yang boleh menjadi kebanggaan kami di mata dunia," kata seorang penyelidik di Pejabat Pengurusan Bandar Kaesong bagi Pemuliharaan Warisan Kebangsaan, Kim Jin-sok.
Kaesong menjadi tapak kedua di Korea Utara yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia selepas kompleks Makam Koguryo di Pyongyang yang menerima pengiktirafan sama pada 2004.
Sementara itu, sebanyak 13 lokasi di seluruh dunia turut diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada hujung minggu lalu termasuklah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah, Gunung Etna di Itali dan Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_09/Kota-purba-Korea-Utara-diiktiraf#ixzz2XB5qinLX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment