Pages

Saturday, June 15, 2013

Gian tangkap ular berbisa

Gian tangkap ular berbisa
Mohd Fauzi Syarwani menunjukkan kemahirannya
bermain dengan ular tedung selar sepanjang empat meter.

Gian tangkap ular berbisa
Tangan Mohd Fauzi Syarwani yang dipatuk 
ular sawa (atas) dan tedung selar (bawah).
TANAH MERAH - Biarpun lebih 10 kali dimasukkan ke hospital akibat patukan ular berbisa, Mohd Fauzi Syarwani Seman tidak pernah serik untuk terus menangkap reptilia itu.

Mohd Fauzi Syarwani berkata, keberaniannya terserlah ketika berusia 10 tahun dan sejak itu mula berjinak-jinak dengan haiwan berbisa tersebut.

“Saya berminat dengan binatang berbisa dan tidak pernah berasa takut.

"Kalau tidak bertemu dengan ular, saya akan mencarinya di merata tempat termasuk dalam sungai dan parit, serta hutan rimba,” katanya yang kini menganggotai pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Tanah Merah.

Menceritakan pengalaman menangkap ular, dia berkata, pernah menangkap ular sawa anggaran panjang 11 meter dan seberat 200 kilo di Rantau Panjang.

"Saya pernah menangkap ular sawa sepanjang tiga meter di Kampung Air Naga. Di Kampung Manal 1, saya menangkap seekor ular sawa seberat 100 kilo. Semua itu pengalaman tidak dapat dilupakan,” katanya.

Katanya, dia juga pernah menangkap ular senduk sepanjang sedepa lebih dan tedung selar sepanjang empat meter, sebesar betis di Kampung Panjang dengan tidak menggunakan penyepit.

“Saya menangkap ular guna tangan, tidak guna penyepit, ini semua kerana minat, jadi tidak merasa susah menangkap haiwan berbisa itu,” katanya.

Selain itu, Mohd Fauzi Syarwani juga pernah mengadakan pertunjukan ular di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Pahang dan Teluk Chempedak.

Menurutnya, dia tiada sebarang petua atau rahsia menangkap ular, cuma percaya pada dirinya.

“Kita kena beradu kecepatan dengan haiwan berbisa itu. Maknanya jangan lalai bila berhadapan dengan reptilia tersebut, barulah kita boleh menangkap haiwan itu,” katanya.

Menurutnya, dia pernah tidur bersama 25 ular berbisa yang dikurung dalam rumahnya selama dua bulan.

Mohd Fauzi Syarwani turut menunjukkan kecederaan yang dialaminya sepanjang berkecimpung dalam minatnya itu.

“Di sebelah kanan kesan patukan ular tedung selar, manakala di sebelah kiri kesan gigitan ular sawa,” katanya.

No comments:

Post a Comment