Pages

Monday, June 24, 2013

Gergasi laut diancam kepupusan

Gergasi laut diancam kepupusanPAUS merupakan hidupan laut yang makin terancam. Hidupan ini juga kian pupus akibat kerakusan manusia dalam memburu siripnya yang mempunyai harga tinggi di pasaran global.

Di Iceland menetapkan kuota 184 sirip paus berpotensi untuk dibunuh. Ironinya, aktiviti penangkapan paus ini menyumbang kepada kepupusan mamalia tersebut.

Suruhanjaya Pemburuan Paus Antarabangsa (IWC) merekodkan, sebanyak 750,000 mamalia marin ini terbunuh dalam lautan di seluruh dunia setiap tahun.

Negara terlibat dalam pemburuan paus ini termasuklah Norway, Iceland dan Jepun.

Daging paus makanan mewah

Daging  dan sirip paus banyak dijual di Jepun sebagai makanan mewah anjing.

Sebuah syarikat di Tokyo menawarkan makanan mewah anjing yang diperbuat daripada daging paus Atlantik Utara itu dikatakan mempunyai kalori dan kandungan lemak rendah serta kaya dengan protin.

Dianggarkan, ketika ini populasi haiwan itu tidak sampai 2,000 di perairan Antartik. Menurut saluran National Geographic, di timur Pasifik, populasi paus biru satu ketika dahulu pernah mencecah 10,000 ekor.

Namun kini spesies terbabit didakwa hanya mempunyai sekitar 2,000 ekor sahaja. Antara habitat haiwan gergasi ini adalah di perairan pantai Australia Barat, Australia Selatan,  Antartik, Filipina dan Jepun.

Di Filipina, paus sinonim dengan negara itu adalah paus kelabu yang turut dikenali sebagai paus jerung.

Haiwan gergasi seberat 30 tan namun tidak bersifat agresif dan banyak digunakan untuk tujuan eko pelancongan.

Paus jenis ini mendiami perairan itu mulai Januari hingga Jun bagi mendapatkan makanan.

Pengarah Eksekutif Konservatif Antarabangsa Filipina, Romeo Trono berkata, program ekopelancongan banyak menyelamatkan paus jerung daripada diburu.

Pemburuan gergasi laut

Tahukah anda, paus mendapat seksaan paling kejam di tangan manusia sebelum  daging dan siripnya dilapah?

Paus ditembak selepas dinaikkan ke bot bagi memastikan ia benar-benar mati.

Bagi pemburu paus di Jepun, senario ini merupakan pemandangan biasa sebelum proses melapah daging dimulakan.

Menurut kajian, tradisi memakan daging paus wujud sejak abad ke-12. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, permintaan terhadap daging mamalia ini semakin meningkat.

Kebanyakan restoran, hidangan paus bukanlah sesuatu luar biasa. Ia menjadi makanan eksotik kegemaran penduduk dari Negara Matahari Terbit itu.

Paus bukan saja dimakan malahan, bahagian paus yang lain turut dijadikan sumber minyak.

Sehubungan itu, IWC  mengharamkan pemburuan paus di Jepun pada 1986 hingga 1987.

Walaupun akur dengan pengharaman tersebut, Jepun masih berdegil memburu mamalia itu atas dasar melakukan penyelidikan.

Perkara ini mendapat tentangan daripada pihak Barat terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia.

Mereka melihat aktiviti tersebut lebih kepada pemburuan komersial.

IWC kini mempunyai 90 negara anggota terlibat dengan pemburuan haram.

Sehingga 2008, Norway membenarkan 1,052 paus jenis minke untuk diburu dan diproses menjadi daging komersial. Negara itu juga dikatakan membunuh lebih 8,100 paus sejak larangan penangkapan paus bermula pada 1986.

Jepun pula memburu kira-kira 1,415 ekor paus pada 2008 atas alasan sebagai kajian saintifik. IWC mengutuk keras tindakan Jepun dan menggesa negara itu segera menghentikan tindakan kejam mereka ke atas mamalia laut itu.

No comments:

Post a Comment