Pages

Saturday, April 20, 2013

Saintis temui planet baharu



FLORIDA 19 April - Saintis baru-baru ini berjaya menemui zon habitat di luar sistem solar yang berpotensi untuk didiami oleh manusia, termasuk sepasang planet yang mengorbit pada bintang induk yang sama.
Penemuan terbaharu itu, sekali gus dimasukkan dalam senarai kira-kira 700 sistem solar yang ditemui sejak 1995.
Ketua Saintis, William Borucki yang bekerjasama dengan Pusat Kajian Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkata, planet baharu tersebut mengorbit bintang induk yang dikenali sebagai Kepler-62 dalam kumpulan bintang Lyra dan terletak kira-kira 1,200 tahun cahaya dari Bumi.
Jelasnya, dua planet terbabit yang mempunyai saiz 1.5 kali ganda daripada Bumi, terletak pada kedudukan sesuai dari bintang induk dan dipercayai mempunyai sumber air yang sangat penting untuk hidupan.
"Berdasarkan kajian melalui sistem teleskop angkasa Kepler, kami mendapati dua planet yang ditemui dalam sistem solar Kepler-62 merupakan calon planet terbaik untuk didiami," katanya.
Model sistem solar yang dihasilkan melalui imej komputer menunjukkan dua planet itu yang dilabel sebagai Kepler-62e dan Kepler-62f, kelihatan kukuh dengan gabungan permukaan batu, ais dan campuran batu dan ais.
Terdapat tiga planet lain yang berada pada kedudukan yang lebih dekat dengan Kepler-62 dan didapati tidak sesuai untuk hidupan kerana terlalu panas.
Sehingga kini, Borucki dan pasukannya telah menemui lebih 2,700 calon planet untuk menggantikan Bumi.
Saintis turut menemui dua planet yang mengelilingi bintang induk lain, Kepler-69 dalam kumpulan bintang Cygnus dengan jarak 2,700 tahun cahaya dari Bumi.
Cahaya bergerak pada kelajuan kira-kira 299,792 kilometer sesaat, atau kira-kira 10 trilion kilometer setahun.
Teleskop yang berkuasa lebih tinggi diperlukan untuk mengkaji sama ada sistem solar terbabit mempunyai sumber air atau tidak. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130420/lu_10/Saintis-temui-planet-baharu#ixzz2R0D9OvAe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment