Pages

Monday, March 25, 2013

Wanita ketagih pembedahan plastik



LONDON 24 Mac - Seorang bekas model Inggeris kini terpaksa mendapatkan nasihat pakar psikologi selepas mengaku 'ketagih' menjalani pembedahan bagi mencantikkan wajah dan badan dengan menjalani lebih 330 prosedur kosmetik sejak berusia 17 tahun.
Alicia Douvall, 34, yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan komposer muzik terkenal Simon Cowell mendakwa, dia telah menghabiskan lebih sejuta pound (RM5 juta) untuk memperbaiki bentuk badan, payu dara, wajah dan juga kulit.
Ibu kepada dua anak itu juga pernah menjalani pembedahan memendekkan tulang rusuk untuk kelihatan lebih langsing dan jari kaki untuk 'kelihatan cantik ketika menyarung kasut bertumit tinggi'.
Douvall, 34, berkata, dia melalui beberapa pembedahan yang menyakitkan dan berbahaya, termasuk pernah satu ketika menjalani beberapa siri pembedahan dengan selang tempoh hanya seminggu kerana merasakan dirinya hodoh.
Wanita itu berkata, dia menjalani pembedahan plastik kerana mahu menjadi seperti anak patung popular, Barbie.
"Saya membawa patung Barbie kepada perunding kecantikan dan memberitahu mereka saya mahu kelihatan seperti patung itu," katanya.
Namun menurutnya, tiada seorang pun pakar bedah yang ditemui menolak permintaannya menyebabkan dia semakin seronok melakukannya.
"Disebabkan keghairahan melakukan pembedahan plastik, saya tidak boleh melakukan ekspresi muka lagi, tidak boleh tersenyum dan terpaksa bernafas hanya melalui hidung," katanya.
Douvall kini terlibat dengan kempen 'Hentikan Pembedahan Plastik Bukan Profesional' dan bertemu pakar bagi mengembalikan keyakinan terhadap dirinya.
Perunding bedah plastik, Kevin Hancock, dari Pertubuhan Estetik dan Pembedahan Plastik Britain (BAAPS) berkata, secara fizikal terdapat individu yang tidak layak menjalani pembedahan plastik terutama sekali sekiranya mereka kelihatan sangat bimbang dengan kesan yang bakal berlaku. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130325/lu_08/Wanita-ketagih-pembedahan-plastik#ixzz2OW3JVgMK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment