Pages

Thursday, March 14, 2013

Pyongyang cabuli gencatan senjata



 
Foto
Anggota Pengawal Merah Petani Pekerja Korea Utara menjalani latihan ketenteraan di Pyongyang, semalam. - Foto REUTERS

Foto
Kereta kebal Korea Selatan melepaskan bedilan dalam latihan di Paju di utara Seoul, semalam. - Foto REUTERS

Seoul: Korea Utara semalam mengesahkan bahawa ia mencabul gencatan senjata berusia 60 tahun yang menamatkan Perang Korea dan memberi amaran langkah seterusnya adalah melancarkan tindakan ketenteraan tanpa belas kasihan terhadap musuhnya.

Satu kenyataan oleh Kementerian Pertahanan bersenjata Korea Utara menyebut bahawa ancaman dari Pyongyang sejak beberapa hari lalu meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Semenanjung Korea itu ke peringkat paling tinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Kenyataan itu disiarkan Agensi Berita Pusat Korea yang menegaskan bahawa penghasut perang sebenar adalah Amerika Syarikat dan bonekanya adalah di Seoul.

Mereka perlu diingatkan bahawa perjanjian gencatan senjata tidak lagi sah dan (Korea Utara) kini tidak tertakluk kepada perisytiharan gencatan senjata Korea Utara dan Korea Selatan untuk tidak menjadi agresif, kata seorang jurucakap kementerian.

Batal gencatan senjata 1953

Apa yang akan dilakukan sekarang adalah langkah pelaksanaan hukuman dan tindakan tanpa belas kasihan terhadap tentera dan penduduk Korea Utara, kata jurucakap terbabit.

Korea Utara minggu lalu mengumumkan bahawa pihaknya membatalkan gencatan senjata 1953 dan perjanjian damai yang ditandatangani dengan Seoul sebagai bantahan terhadap latihan tentera bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat bermula Isnin.
Terus semula permusuhan

Disebabkan Perang Korea ditamatkan melalui gencatan senjata berbanding satu perjanjian damai, kedua-dua negara Korea itu secara teknikalnya masih lagi berperang.

Melanggar gencatan senjata itu secara teorinya membuka ruang untuk kembali bermusuhan walaupun pemerhati mengingatkan bahawa ini adalah jauh berbeza ketika Korea Utara kali pertama mengumumkan untuk memansuhkan gencatan senjata terbabit.
AFP

No comments:

Post a Comment