Pages

Tuesday, March 12, 2013

Hakim Russia tangguh bicara orang mati


MOSCOW: Mahkamah Russia menangguhkan perbicaraan seorang peguam sehingga Mac depan dalam kes disifatkan bermotif politik dan tidak masuk akal kerana tertuduh sudah meninggal dunia.

Hakim Igor Alisov mengumumkan penangguhan itu selepas tiada peguam bela muncul untuk mempertahankan Sergei Magnitsky di mahkamah Tverskoy, Moscow, lebih tiga tahun selepas dia mati dalam tahanan.
Mahkamah sudah melantik seorang peguam untuk mempertahankan Magnitsky selepas peguam bela tertuduh dan keluarganya enggan menghadiri prosiding.

Tidak jelas mengapa peguam bela Magnitsky tidak hadir tetapi memang diketahui mereka tidak ada masa cukup membuat persediaan kes.

Perbicaraan Magnitsky atas tuduhan menipu pihak berkuasa adalah yang pertama membabitkan orang sudah mati di Russia dan antara punca menjejaskan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Magnitsky yang bertugas untuk Dana Pelaburan Hermitage Capital Management dan berusia 37 tahun ketika meninggal dunia pada November 2009, dipenjarakan selepas menuduh pegawai cukai dan polis melakukan penipuan berbilion dolar.

Bekas majikannya, William Browder, berkata tuduhan terhadap Magnitsky adalah tindakan balas dendam. Browder juga dipenjarakan tetapi tidak muncul di mahkamah.
Majlis Hak Asasi Manusia Russia berkata, Magnitsky mungkin dipukul sampai mati ketika berada dalam tahanan tetapi President Vladimir Putin berkata dia mati kerana jantung tidak berfungsi. AGENSI

No comments:

Post a Comment