Pages

Wednesday, February 6, 2013

Punca lelaki acu pisau terbongkar




REUTERS
TALHAT memegang dua bilah pisau dengan membuat ancaman mahu membunuh diri di luar Istana Buckingham, London sebelum dia ditangkap polis pada Ahad lalu.


LONDON - Seorang lelaki, Talhat Rehman melakukan aksi mengacukan dua bilah pisau ke arah tubuhnya sendiri di luar Istana Buckingham di sini pada Ahad lalu kerana dia ditipu seorang peguam sebanyak £168,000 (RM818,779) dalam satu urus niaga hartanah, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Talhat, 54, yang merupakan seorang ahli perniagaan kemudian ditangkap selepas dia 'ditembak' dengan pistol renjatan elektrik berkuasa 50,000 volt oleh seorang anggota polis.
Anggota polis itu 'menembaknya' selepas dia mahu membunuh dirinya.
Ketika kejadian, pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan suami baginda, Putera Philip tidak berada di istana itu.
Seorang anak lelaki Talhat, Kassum Raja, 30, dari Harrow berkata, seorang peguam bapanya yang mencuri wang tersebut telah menutup firma guamannya.
Menurut Kassum, bapanya kemudian membuat aduan kepada polis.
Bagaimanapun, Talhat diberitahu bahawa kes mencuri wang itu akan menyebabkan kerja-kerja anggota polis akan dibebani dengan tugas yang banyak.
Kassum berkata, pihak polis kemudian memberi nasihat supaya bapanya mengupah peguam.
Namun, perbelanjaan untuk memperoleh khidmat peguam adalah tinggi.
Talhat dilaporkan telah membelanjakan sebanyak £30,000 (RM146,210) untuk membayar yuran guaman.
"Dia (Talhat) berada dalam keadaan terdesak. Justeru, dia mahu menghadap ratu. Dia mahu menghantar sepucuk surat ke Istana Buckingham. Dia akan membunuh diri jika tidak menghantar surat itu," kata Kassum.
Anaknya itu yang mengendalikan sebuah pusat penyembelihan haiwan di Kingsbury berkata, keluarganya kini berada dalam keadaan tertekan.
"Empat anak saya tidak mempercayai kejadian itu," katanya.
Talhat yang mempunyai lima anak dan 18 cucu tidak pernah menghadapi masalah mental sehingga dia kehilangan wang tersebut, kata keluarganya.
Sumber polis menyatakan, beberapa pegawai telah menyiasat kes Talhat.
Bagaimanapun, kes penipuan itu ditutup kerana kekurangan bukti.
Talhat berdepan dua dakwaan memiliki senjata tajam di tempat awam dan satu tuduhan berkelahi selepas dia ditahan polis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2K4JKZCHw 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment