Pages

Sunday, February 10, 2013

New York dilanda ribut salji




PEMANDANGAN dari udara menunjukkan Dataran Copley yang dilitupi salji di Boston kelmarin.


NEW YORK - Angin kencang dan salji tebal melanda kota raya ini hingga ke Boston yang menyebabkan hampir 25 juta orang terjejas manakala banyak penerbangan tergendala serta pejabat turut ditutup.
Menjelang awal semalam, lebih 60 sentimeter salji turun di beberapa bahagian di tengah negeri Connecticut dan tenggara negeri Massachusetts di Amerika Syarikat (AS).
Di timur laut AS pula, lebih 600,000 kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik ekoran salji tebal dan angin kencang yang melanda rantau berkenaan.
Setakat ini, ribut salji itu telah menyebabkan empat kematian di negeri New York dan Kanada.
Kelmarin, orang ramai di kawasan-kawasan yang dilanda ribut salji membanjiri pasar-pasar raya untuk membeli makanan, lampu suluh, penyodok dan generator.
Mereka turut mengisi penuh tangki kenderaan masing-masing setelah mendapat pengajaran daripada Taufan Sandy yang melanda pada Oktober tahun lalu.
"Ribut ini tidak boleh dipandang remeh," kata Datuk Bandar Boston, Thomas Menino.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak keluar rumah," katanya lagi.
Setakat semalam, sebanyak 5,300 penerbangan di seluruh AS turut dibatalkan akibat cuaca buruk itu.
Gabenor Massachusetts, Deval Patrick pula melarang kenderaan berada di jalan raya kelmarin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Larangan tersebut adalah yang pertama di negeri itu sejak ribut salji pada 1978.
"Ribut seperti ini tidak berlaku setiap hari. Ini merupakan ribut salji yang berbahaya," kata pegawai meteorologi Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan, Alan Dunham di Taunton, Massachusetts.
Menurutnya, salji paling tebal diramalkan turun sejak dari kelmarin hingga keesokan harinya.
Keadaan tersebut, katanya, diburukkan lagi dengan tiupan angin selaju 120 kilometer sejam.
Dalam perkembangan berkaitan, sejumlah 19 buah kereta terlibat dalam satu kemalangan di Maine kelmarin akibat salji tebal. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2KRmtBc6c 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment