Pages

Sunday, February 24, 2013

KISAH PEMUDA DAN SEBIJI EPAL



Seorang lelaki yang soleh bernama Tsabit bin Ibrahim sedang berjalan di pinggiran kota Kufah. Tiba-tiba dia melihat sebuah epal jatuh ke luar pagar sebuah kebun buah-buahan. Melihat epal yang merah ranum itu, membuatkan Tsabit terliur. Lebih-lebih lagi cuaca sangat panas dan beliau sangat lapar dan dahaga.

Maka tanpa berfikir panjang, diambilnya buah itu dan dimakannya buah epal itu. Selepas dimakan separuh dari epal itu, barulah dia teringat bahawa buah epal itu bukan miliknya dan dia belum mendapat izin dari pemiliknya.

Maka dia segera pergi ke dalam kebun buah-buahan itu dengan maksud hendak menemui pemiliknya agar menghalalkan buah epal yang telah terlanjur dimakannya. Di kebun itu dia bertemu dengan seorang lelaki. Tsabit berkata, "Aku sudah makan separuh dari buah epal ini. Aku berharap kamu menghalalkannya". Orang itu menjawab, "Aku bukan pemilik kebun ini. Aku hanya khadamnya yang ditugaskan menjaga dan menguruskan kebunnya".

Dengan nada kesal Tsabit bertanya lagi, "Dimana rumah pemiliknya? Aku akan menemuinya dan minta agar dihalalkan epal yang telah ku makan ini." Kata Pengurus kebun itu, "Jika kamu ingin kesana kamu harus menempuh perjalanan sehari semalam". Tsabit bin Ibrahim bertekad menemui si pemilik kebun itu. Katanya kepada orang tua itu, "Tidak mengapa. Aku akan tetap pergi menemuinya, meskipun rumahnya jauh. Aku telah memakan epal yang tidak halal bagiku kerana tanpa izin pemiliknya. Bukankah Rasulullah saw sudah memperingatkan kita lewat sabdanya : "Siapa yang tubuhnya tumbuh dari yang haram, maka ia lebih layak menjadi umpan api neraka."

Tsabit pergi juga ke rumah pemilik kebun itu, sampai disana dia terus mengetuk pintu. Setelah si pemilik rumah membuka pintu, Tsabit memberi salam dengan sopan dan berkata, "Wahai tuan yang pemurah, saya sudah termakan separuh dari buah epal tuan yang jatuh ke luar kebun tuan. Kerana itu sudikah tuan menghalalkan apa yang sudah saya makan itu?"

Lelaki tua itu mengamatinya dengan cermat. Lalu dia berkata, "Tidak, aku tidak akan menghalalkannya kecuali dengan satu syarat." Tsabit khuatir dengan syarat itu kerana takut dia tidak dapat memenuhinya. Kemudian Tsabit bertanya, "Apa syarat itu tuan?"

Orang itu menjawab, "Engkau harus mengahwini puteriku!" Tsabit bin Ibrahim tidak memahami apa maksud dan tujuan lelaki itu, maka dia berkata, "Adakah disebabkan aku makan separuh buah epalmu yang jatuh ke luar dari kebunmu, aku harus mengahwini puterimu?" Tetapi pemilik kebun itu tidak mempedulikan pertanyaan Tsabit. Kemudian dia berkata, "Sebelum engkau bernikah, engkau harus tahu kekurangan-kekurangan puteriku itu. Dia seorang yang buta, bisu dan tuli. Lebih dari itu dia juga seorang gadis yang lumpuh !"

Tsabit amat terkejut dengan kata-kata pemilik kebun itu. Dia berfikir dalam hatinya, apakah perempuan seperti itu patut dia jadikan isteri, gara-gara ia memakan setengah buah epal yang tidak dihalalkan kepadanya? Kemudian pemilik kebun itu berkata lagi, "Selain syarat itu aku tidak boleh menghalalkan apa yang telah kau makan!"

Tsabit kemudian berkata, "Aku akan menerima pinangannya dan perkahwinannya. Aku telah bertekad akan mengadakan transaksi dengan Allah Rabbul 'Alamin. Untuk itu aku akan memenuhi kewajipan-kewajipan dan hak-hak ku kepadanya kerana aku amat berharap Allah selalu meredhaiku dan mudah-mudahan aku dapat meningkatkan kebaikan-kebaikanku di sisi Allah Ta'ala".

Maka pernikahan pun dilaksanakan. Pemilik kebun itu menghadirkan dua saksi bagi pernikahan tersebut. Sesudah selesai perkahwinan, Tsabit dipersilakan masuk menemui isterinya. Sewaktu Tsabit hendak masuk kamar pengantin, dia berfikir akan tetap mengucapkan salam walaupun isterinya tuli dan bisu, kerana bukankah malaikat Allah yang berkeliaran dalam rumahnya tentu tidak tuli dan bisu juga.

Maka diapun mengucapkan salam, "Assalamu'alaikum."

Tak disangka sama sekali wanita yang ada dihadapannya dan kini rasmi menjadi isterinya itu menjawab salamnya dengan baik. Ketika Tsabit masuk hendak menghampiri wanita itu, dia menghulurkan tangan untuk menyambut tangannya. Sekali lagi Tsabit terkejut kerana wanita yang kini menjadi isterinya itu menyambut huluran tangannya.

"Kata ayahnya dia wanita tuli dan bisu tetapi ternyata dia menyambut salamnya dengan baik. Jika begitu ternyata, isteriku ini ternyata tidak tuli dan bisu. Ayahnya juga mengatakan bahawa dia buta dan lumpuh tetapi ternyata dia menyambut kedatanganku dengan ramah dan menghulurkan tangan dengan mesra pula", kata Tsabit dalam hatinya.

Tsabit berfikir mengapa ayahnya menyampaikan berita-berita yang bertentangan dengan kenyataan yang sebenarnya ?

Setelah Tsabit duduk disamping isterinya, dia bertanya, "Ayahmu mengatakan kepadaku bahawa engkau buta. Mengapa ?" Wanita itu kemudian berkata, "Benar kata Ayahku, kerana aku tidak pernah melihat apa-apa yang diharamkan Allah". Tsabit bertanya lagi, "Ayahmu juga mengatakan bahawa engkau tuli. Mengapa?" Wanita itu menjawab, "Benar kata Ayahku, kerana aku tidak pernah ingin mendengar berita dan cerita orang yang tidak membuat redha Allah. Ayahku juga mengatakan kepadamu bahawa aku bisu dan lumpuh, bukan?" tanya wanita itu kepada Tsabit yang kini sah menjadi suaminya. Tsabit mengangguk perlahan mengiyakan pertanyaan isterinya.

Kemudian wanita itu berkata, "Aku dikatakan bisu kerana dalam banyak hal aku hanya mengunakan lidahku untuk menyebut asma Allah Ta'ala saja. Aku juga dikatakan lumpuh kerana kakiku tidak pernah pergi ke tempat-tempat yang boleh menimbulkan kegusaran Allah Ta'ala".

Tsabit amat bahagia mendapatkan isteri yang ternyata amat soleh dan wanita yang akan memelihara dirinya dan melindungi hak-haknya sebagai suami dengan baik. Dengan bangga ia berkata tentang isterinya, "Ketika kulihat wajahnya... Subhanallah, dia bagaikan bulan purnama di malam yang gelap".

Tsabit dan isterinya yang solehah dan cantik rupawan itu hidup rukun dan berbahagia. Tidak lama kemudian mereka dikurniakan seorang putera yang ilmunya memancarkan hikmah ke penjuru dunia.

Itulah Al Imam Abu Hanifah An Nu'man bin Tsabit.
 

No comments:

Post a Comment