Pages

Sunday, February 17, 2013

Ibu bingung anak bawa diri sejak enam bulan lepas



KULIM - Seorang wanita dari Taman Keranji di sini bingung dengan tindakan anak perempuannya yang membawa diri sejak enam bulan lalu tanpa berita.

Syafrida Husin, 45, seorang peniaga di gerai Medan Usahawan Jalan Assad di sini, berkata anak sulungnya Rika Desy Rindani Redwardi, 26, sudah dua tahun tidak pulang ke rumah kerana bekerja di Pulau Pinang dan tinggal bersama adiknya Maifiaranni, 22, yang sudah berumah tangga, di Teluk Kumbar.

"Walaupun tidak pulang ke rumah dia sering menghubungi saya melalui telefon ketika tinggal bersama adiknya. Sejak Mei 2012 lalu selepas keluar dari rumah adiknya kerana berlaku selisih faham ada sekali dua dia menghubungi saya tetapi kemudian tiada khabar berita yang saya terima hingga sekarang," katanya kepada Bernama hari ini.

Syafrida yang berasal dari Pekan Baru, Riau, Indonesia menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan merupakan seorang penduduk tetap setelah berkahwin dengan penduduk tempatan Syed Yusuf Syed Idris, 56.

Dia menetap di Taman Keranji sejak lima tahun lalu. Sebelum itu, mereka tinggal di Ampang, Selangor.  

Dua anak perempuannya - Rika Desy Rindani dan Mafiaranni - adalah hasil perkongsian hidupnya dengan suami pertamanya di Riau yang telah meninggal dunia.

Kedua-dua anak perempuannya itu dilahirkan di Pekan Baru, Riau dan mempunyai permit bekerja di negara ini sejak lima tahun lalu.

Perkahwinan Syafrida dengan Syed Yusuf pula dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Lokman, 9. Syafrida merayu kepada anaknya itu supaya menghubunginya semula atau terus
pulang ke rumah mereka di sini kerana jika ada masalah tersirat ia boleh diatasi.

“Dia pernah memberitahu saya beberapa bulan lalu bahawa keengganannya untuk pulang ke pangkuan keluarga adalah kerana 'ada banyak dosa dengan mama'.

"Walau apa pun sebabnya...kami tidak ambil kisah, yang penting dia selamat menjalani hidup seharian kerana saya amat bimbang taraf kerakyatannya akan menyebabkan dia berada dalam kesukaran hidup," katanya.

Dia berkata dua laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu telah dibuat iaitu di Kulim dan Teluk Kumbar Pulau Pinang Sabtu lalu.

Orang ramai dan pihak tertentu yang mengenali Rika boleh menghubungi Syafrida melalui talian 012-4809244 atau suaminya Syed Yusuf melalui talian 013-6688366. - Bernama

No comments:

Post a Comment