Pages

Sunday, February 17, 2013

Asteroid hampiri Bumi


Florida: Sebutir asteroid terbang 27,600 kilometer dari Bumi hanya beberapa jam selepas sebuah meteorit terhempas di Pergunungan Ural di Chelyabinsk, kelmarin. Saintis berkata, ia adalah asteroid besar pertama mencatat jarak terbang paling hampir dengan Bumi.

Saintis dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) AS bertegas, meteorit itu tidak ada kena mengena dengan asteroid berkenaan kerana kedua-duanya terbang dalam arah bertentangan.


Asteroid adalah objek yang lebih besar berbanding meteor (tahi bintang) dan mengujakan peminat astronomi di Australia yang menyaksikan ia berlalu tanpa membahayakan Bumi. Dikenali sebagai Asteroid 2012 DA14, objek itu berada lebih hampir berbanding kebanyakan satelit komunikasi dan cuaca di angkasa.

Asteroid itu terlalu kecil untuk dapat dilihat dengan mata kasar walaupun ketika ia berada di kedudukan paling hampir dengan Bimi pada jam 2.25 petang (10.25 malam waktu Malaysia) di Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Tempat terbaik untuk menyaksikan asteroid itu menggunakan teropong ialah di Asia, Australia dan timur Eropah. Walaupun begitu, mereka hanya dapat melihat satu titik kecil bercahaya kerana ia bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam.


Secara bandingan, asteroid kelmarin itu dianggap kecil berbanding meteorit yang memusnahkan dinasor 65 juta tahun lalu selebar 9.6 kilometer. Bagaimanapun, saintis berkata, asteroid kelmarin masih boleh menyebabkan kemusnahan besar berdasarkan beratnya (143,000 tan) yang mampu menghasilkan tenaga bersamaan 2.4 juta tan TNT.


Dalam keadaan itu, kata saintis, ia boleh memusnahkan kawasan seluas 1,942 kilometer persegi. Nasa menganggarkan, meteor yang terhempas di Russia kelmarin jauh lebih kecil - kira-kira 15 meter lebar dan seberat 7,000 tan sebelum memasuki atmosfera. Ia bersamaan satu per tiga daripada asteroid yang terbang berhampiran Bumi kelmarin. Pegawai kanan Nasa, Jim Green, berkata kejadian kelmarin itu sangat luar biasa dan bersejarah. - AP

No comments:

Post a Comment