Pages

Thursday, February 14, 2013

53 tahun sorok Taman Dalam Botol

Jika anda melihat tumbuhan hijau segar dan merimbun, anda pasti terfikir David Latimer seorang yang cintakan kehijauan dan bijak meneroka.
Meskipun benar, taman dalam botolnya itu kini berusia hampir 53 tahun dan hakikatnya tidak mengambil banyak masa. 
Malah, hari terakhir dia menyiram pokok itu, Sir Edward Richard George Heath masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri United Kingdom dari 1970 hingga 1974 manakala Richard Nixon menginap di Rumah Putih.

Pokok yang tumbuh di dalam balang kaca itu tidak didedahkan ke dunia luar selama 40 tahun.
Foto
Latimer bersama taman mininya yang berusia 53 tahun

Namun, suasana dalam rumah itu sendiri ditanam dengan pelbagai pokok ‘spiderworts’ atau nama saintifiknya Tradescantia yang subur dengan dedaun yang sihat diisi dalam pelbagai botol perhiasan menyerupai buah labu.

Latimer, 80, berkata, balang pokok itu diletakkan pada jarak 1.83 meter dari tingkap agar ia dapat disinari cahaya matahari.

Sudah menjadi lumrah, hidupan hijau tumbuh ke arah cahaya matahari untuk menghasilkan fotosintesis. Justeru, Latimer akan memusingkan botol pokok itu ke arah cahaya matahari agar tumbesaran pokok itu serata.

“Selain kelihatan cantik, kos penyelenggaraannya juga rendah dan murah.

Saya tidak perlu memotong atau memangkas mana-mana bahagian, membolehkan ia berkembang mengikut had botol,” katanya.

Taman dalam botol berjaya mencipta ekosistem kecilnya sendiri.

Walaupun terputus daripada dunia luar, ia masih menyerap cahaya agar dapat melakukan proses fotosintesis.

Fotosintesis mewujudkan oksigen dan membuatkan udara sekeliling berasa lembap.

Daun yang gugur dan mereput di bahagian bawah botol mewujudkan karbon dioksida yang diperlukan untuk proses fotosintesis dan nutrien yang diserap menerusi akarnya.

Segalanya bermula pada 1960 apabila Latimer mencari hobi yang menyeronokkan dan keinginannya untuk memulakan taman dalam botol.

“Ketika itu, industri kimia mula berubah apabila kebanyakannya memindahkan sebahagian pengeluaran ke dalam botol plastik. Maka, banyak botol kaca yang terbiar dan tidak digunakan atau dijual murah,” katanya.

Bermula dengan pemilihan botol seperti botol ‘globular’, Latimer mencurahkan kompos atau baja kompos lalu mencampurkannya dengan sedikit tanah.

Dengan berhati-hati, Latimer menurun dan meletakkan benih pokok dengan menggunakan sekeping dawai.

Selepas selesai menanam pokok itu, dia memasukkan kira-kira satu perempat daripada 473 mililiter air.

Sehinggalah pada 1972, dia menyiram pokok itu kembali dengan kuantiti yang sama.

Selepas itu, Latimer menyumbat ruang botol dan menutupnya dengan ketat dan sejak itu pokok yang ditanam dalam botol tidak disiram air.

Botol terbabit berdiri teguh di bawah tangga dalam rumahnya di Cranleigh, Surrey, England.

Ia berada di tempat sama yang diduduki Latimer selama 27 tahun selepas dia dan isterinya Gretchen berpindah dari Lancashire apabila bersara sebagai seorang jurutera elektrik.

Latimer berjaya dengan hobi terbabit dan mendedahkannya kepada dunia selepas mengambil gambar ciptaannya untuk Radio 4 BBC.

Pakar landskap dan penyampai televisyen, Chris Beard­shaw berkata, apa yang dilakukan Latimer itu adalah contoh terhebat, membuktikan tumbuhan mampu mengitar semula untuk hidup.

“Proses ini antara sebab mengapa NASA berminat membawa tumbuh-tumbuhan ke angkasa lepas,” katanya.

Pekebun organik, Bob Flowerdew agak kurang bersemangat apabila memberi komen mengenai hobi Latimer.

“Ia mungkin kelihatan cantik, tetapi saya tidak nampak tujuan kita menanam pokok dalam botol, tetapi saya tidak boleh memakannya,” katanya.

Latimer bersetuju apabila berasakan taman dalam botol adalah sangat membosankan kerana tidak dapat berbuat apa-apa seperti menyiram, mengusir serangga atau memotong dahan dan ranting pokok, tetapi masih terpesona untuk melihat berapa lama ia dapat meneruskan hidup.

Dia berharap untuk mewariskan ‘eksperimen’ itu kepada anaknya selepas dia meninggal dunia.

Jika mereka tidak mahu, dia terpaksa memberikannya kepada Persatuan Hortikultur Diraja.


Bagaimana taman dalam botol membesar

Taman dalam botol mampu meneruskan hidup kerana ruang yang tertutup berjaya mewujudkan ekosistem tersendiri di mana tumbuh-tumbuhan boleh hidup menerusi fotosintesis dan mengitar semula nutrien.

Satu-satunya input luaran yang diperlukan pokok terbabit untuk meneruskan kelangsungan hidup adalah cahaya yang membekalkan tenaga untuk mencipta makanannya sendiri.

Proses fotosintesis ini adalah bertentangan dengan respirasi selular yang berlaku dalam organisma lain termasuk manusia di mana karbohidrat yang mengandungi tenaga bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan karbon dioksida, air dan melepaskan tenaga kimia.

Tetapi, ekosistem ini turut menggunakan pernafasan selular untuk menghancurkan bahan reput yang jatuh daripada tumbuhan itu.

Pada waktu malam, tumbuhan akan menggunakan pernafasan selular untuk memastikan kelangsungan hidupnya dengan meng­hancurkan nutrien yang tersimpan.

Disebabkan taman dalam botol adalah persekitaran yang tertutup, justeru kitaran airnya turut meliputi satu proses yang lengkap.

Akar tumbuhan menyedut air kemudian melepaskannya ke ruang udara semasa proses perpeluhan atau transpirasi, seterusnya berlaku pemeluwapan dan kitaran hidup tumbuhan itu akan berulang apabila titik air jatuh ke dalam campuran tanah.


INFO:

Dunia Tumbuhan Dalam Botol: Bina Taman Dalam Botol Sendiri

Penulis, Nigel Colborn berkata, idea taman dalam botol adalah untuk mewujudkan sebuah dunia kecil di dalamnya. Ia akan mempunyai habitat khasnya sendiri dan hanya memerlukan sedikit penyelenggaraan.

1) Pilih bekas kaca yang sesuai dengan leher botol yang luas agar mudah untuk mengakses dalamnya dan kelihatan menarik. Mangkuk ikan emas adalah ideal untuk dewasa manakala kanak-kanak boleh menggunakan balang jem besar.

2) Gunakan baja dan tanah kompos yang berkualiti, batu kerikil atau pasir dan tumbuhan yang sesuai.

3) Gunakan sudu besar untuk memasukkan lapisan batu kerikil atau pasir ke dalam balang dan tutup dengan kompos yang cukup dalam untuk menampung tumbesaran akar tumbuhan.

4) Mengenai tumbuhan, anda perlu memilih tumbuhan di kalangan spesimen kecil - melainkan ia adalah untuk satu bekas besar. Paku pakis seperti ‘maidenhair’ atau ‘adiantum’ iaitu antara spesies kecil Tradescantia atau tumbuhan renek seperti ‘Chlorophytum’ pasti mudah diurus. Replika treler atau patung haiwan kecil pasti menceriakan ruang balang.

5) Letakkan pokok dengan berhati-hati pada kedudukannya, sesuaikan atau ubah kedudukan tumbuhan dengan menggunakan kayu atau penyepit dapur sehingga anda selesa dengan keadaan tumbuhan.

6) Selepas menanam tumbuhan, tambahkan lapisan akhir pasir agar mampu menguatkan kedudukan tumbuhan dan membuatkan taman mikro anda kelihatan menarik.

7) Siram tumbuhan dengan berhati-hati kerana penjagaan pokok dalam balang tidak
memerlukan banyak air dan letakkan taman mikro di tempat yang terang, tetapi tidak terlalu terdedah pada kepanasan cahaya.

No comments:

Post a Comment