Pages

Saturday, January 12, 2013

Penduduk Palestin bina khemah di E1



SEJUMLAH penduduk Palestin dan aktivis asing termasuk beberapa warga Israel berdiri dekat khemah-khemah di kawasan E1 dekat Baitulmuqaddis semalam.


AL-TUR, Wilayah Palestin - Sejumlah aktivis Palestin mula membina khemah-khemah di sebuah kawasan dikenali sebagai E1 yang terletak di Tebing Barat, timur Baitulmuqaddis.
Pihak berkuasa Israel sebelum ini mengumumkan akan membina beribu-ribu kediaman peneroka haram Yahudi di lokasi itu.
"Kami mendirikan 20 khemah dan memiliki peralatan yang mencukupi bagi membolehkan kami tinggal di kawasan itu untuk tempoh yang lama," kata jurucakapnya, Abir Kopty.
Protes tersebut dianjurkan oleh aktivis-aktivis Jawatankuasa Koordinasi Perjuangan Popular.
Kopty memberitahu agensi berita AFP bahawa lebih 200 penduduk Palestin kini berkhemah di tapak berkenaan yang mereka namakan Bab Al-Shams.
Tanah tersebut terletak di antara hujung timur Baitulmuqaddis yang ditakluki Israel dan penempatan Maaleh Adumim.
"Kami akan tinggal di sini sehingga kami dapat memastikan penduduk Palestin (pemilik-pemilik tanah berkenaan) mendapat hak mereka untuk membina (rumah) di tanah mereka," tambahnya.
Seorang jurucakap Pentadbiran Awam Israel menyatakan, beberapa pegawai yang diiringi polis mengeluarkan perintah untuk mengusir aktivis-aktivis itu dari tapak berkenaan.
Enam minggu lalu, Israel mengumumkan rancangan membina beribu-ribu rumah peneroka Yahudi di kawasan E1 yang telah mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0112&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2HiB66hiR 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment