Pages

Monday, January 14, 2013

Cacat, tapi dapat lesen dengan sekali ujian

Dave Watson yang kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan
kanannya berjaya mendapat lesen memandu dengan
 hanya sekali ujian. - AGENSI
LANCASHIRE 13 Jan. - Seorang bekas askar Britain yang kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan kanannya ketika berkhidmat di Afghanistan, berjaya mendapatkan lesen memandu dengan hanya sekali ujian sahaja.
Dave Watson, 26, kehilangan ketiga-tiga anggota badan berkenaan selepas terpijak bahan letupan yang diubah suai ketika sedang melakukan rondaan rutin di Afghanistan.
Namun, kecacatan yang dialaminya tidak menghalang Watson untuk mendapatkan lesen L selepas lulus dalam ujian pemanduan dan hanya melakukan tiga kesilapan kecil sahaja.
Lelaki yang berasal dari Walton-le-Dale, Lancashire, berkata, dia telah menjalani sebanyak 38 kali kelas pembelajaran memandu selama tiga bulan dengan menggunakan kereta Range Rover Sport miliknya yang telah diubah suai mengikut kemampuan fizikalnya.
“Dengan lesen yang saya perolehi ini, saya boleh pergi ke mana-mana yang saya suka, sekali gus menjadikan diri saya lebih bebas bergerak," katanya.
Kereta Watson yang diubah suai itu mempunyai kotak khas di bahagian pintu pemandu, membolehkan dia meletakkan tangan kanannya yang kudung tersebut.
Kotak berkenaan mempunyai fungsi brek dan pedal minyak yang boleh dikawal menggunakan tangan kanannya itu.
Satu tombol kecil juga dipasang pada stereng untuk memudahkan tangan kanannya memegang pengawal tayar itu, yang turut dilengkapi butang penunjuk arah, pengelap cermin dan lampu.
“Saya dapat mempelajari cara memandu dengan cepat walaupun fizikal saya tidak sempurna.
“Saya tidak akan hanya duduk diam dan membaca buku, sebaliknya saya akan berusaha untuk mempraktikkan apa yang saya pelajari," jelasnya.
Ekoran kejayaan Watson memperoleh lesen memandu berkenaan, dia kini merancang untuk belajar menunggang motosikal dan mengambil lesen motosikal pula. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130114/lu_05/Cacat-tapi-dapat-lesen-dengan-sekali-ujian#ixzz2HxkSxyUN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment