Pages

Tuesday, January 22, 2013

15 tahun tak dibayar gaji



Dua beradik dakwa ditipu

KUCHING: Nasib dua beradik dari Kampung Antayan Kropok, Serian, di sini, tidak ubah seperti buruh paksa apabila mereka mendakwa dikerah bekerja 12 jam sehari tanpa menerima upah walau sesen dalam tempoh 15 tahun lalu.

Ketika menerima tawaran daripada ejen mencari pekerja pada 1995, Radin anak Bangan, 31 dan adiknya Simon, 30, yang hanya sempat bersekolah hingga darjah enam, melompat kegirangan selepas dimaklumkan mereka bakal menerima gaji RM2,000 sebulan apabila bekerja di kilang membuat pau, di Puchong, Selangor. Mereka ketika itu masing-masing berusia 15 dan 16 tahun terus menerima tawaran itu dengan harapan pendapatan lumayan akan membantu mengubah nasib keluarga.
Selepas sebulan bekerja, mereka tidak menerima gaji seperti dijanjikan, namun bersabar kerana yakin majikan akan membayar gaji pada bulan berikutnya. Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, dua beradik itu terus menanti namun sehingga 15 tahun mereka hanya menikmati makanan dan tempat tinggal percuma daripada majikan manakala gaji yang diharapkan tidak pernah diterima.

Dalam tempoh itu juga, mereka terputus hubungan dengan keluarga dan lebih malang lagi selama bekerja di kilang pau itu, mereka tidak pernah keluar, walaupun ke pekan berhampiran.

"Saya tidak begitu ingat suasana perayaan Gawai Dayak kerana tidak pernah berpeluang untuk merayakannya sejak saya ke sana (Puchong).

“Kami terharu, kerana tahun ini berpeluang untuk menyambut Gawai bersama keluarga kerana selama ini kami tidak berhubung dengan mereka," kata Simon tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu ketika ditemui selepas mereka membuat laporan polis terhadap majikan mereka di Balai Polis Sentral, di sini, semalam. Mereka pulang ke kampung Februari lalu.
Radin pula berkata, selepas sekian lama berada di perantauan, beliau terfikir mungkin tidak akan berpeluang berjumpa keluarga lagi.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku pada keluarga di sini (Sarawak). Kami juga tidak tahu macam mana hendak keluar (lari) kerana bimbang tidak tahu ke mana arah tujuan.

"Tetapi selepas sekian lama terkurung, akhirnya majikan bersetuju menghantar kami balik dan membeli tiket kapal terbang, itupun selepas diminta oleh bapa kami," katanya yang mendakwa selain beliau dan adiknya, terdapat dua lagi rakyat Sarawak berbangsa Bidayuh dan tiga lagi berbangsa Cina berasal dari Perak, bekerja di kilang itu.

1 comment:

  1. Hey! I know this is kinda off topic but I'd figured I'd ask.
    Would you be interested in exchanging links or maybe guest authoring a blog post or vice-versa?

    My website addresses a lot of the same subjects as yours and I believe we
    could greatly benefit from each other. If you are interested feel free to shoot me an email.
    I look forward to hearing from you! Wonderful blog by the way!
    Here is my webpage ... part time work at home jobs

    ReplyDelete