Pages

Wednesday, December 19, 2012

Pertempuran masih berterusan di Kachin



Masa depan etnik Kachin di Myanmar masih gelap berikutan konflik yang masih berterusan. - AGENSI
YANGON 18 Dis. - Setahun selepas Presiden Myanmar, Thein Sein mengarahkan tindakan ketenteraan ke atas pemberontak etnik dihentikan, pertempuran masih berlaku antara tentera dengan pemberontak etnik Kachin di utara negara ini.
Seorang ahli perniagaan tempatan yang menjadi orang tengah rundingan damai antara pemberontak dan kerajaan, Yup Zaw Hkaung hari ini berkata, proses rundingan damai juga masih belum dapat diputuskan.
‘‘Pertempuran antara Pertubuhan Pembebasan Kachin dengan tentera Myanmar berlaku setiap hari sejak beberapa minggu lalu.
‘‘Kedua-dua pihak menyatakan mereka mempertahankan diri,’’ katanya.
Beliau meminta pihak ketiga seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi orang tengah dalam rundingan itu.
Beberapa pusingan rundingan damai bagi menyelesaikan konflik di utara Myanmar itu gagal mencapai sebarang penyelesaian.
Pemberontak Kachin mahukan lebih hak berpolitik dan penamatan pelanggaran hak asasi manusia oleh tentera.
Berpuluh ribu orang kehilangan tempat tinggal sejak Jun tahun lepas apabila gencatan senjata antara kerajaan dan pemberontak Kachin sejak 17 tahun lalu, terbatal.
Pertempuran itu bersama keganasan etnik dan agama di Rakhine, barat Myanmar menambah kebimbangan terhadap perubahan politik oleh pentadbiran Thein Sein selepas tamatnya pemerintahan tentera. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121219/lu_04/Pertempuran-masih-berterusan-di-Kachin#ixzz2FTkfefQR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment