Pages

Saturday, December 1, 2012

Israel marah status baharu Palestin

Kosmo! Online - Dunia:



AFP
SEJUMLAH penduduk bersorak bagi meraikan status baharu Palestin di Ramallah, Tebing Barat kelmarin.


BAITULMUQADDIS - Kejayaan Palestin memperoleh status di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota di PBB telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak di Israel.
Perhimpunan Agung PBB kelmarin mengundi dengan 138 negara menyokong, sembilan menentang dan 41 buah lagi berkecuali.
Sebanyak 193 negara menganggotai perhimpunan itu.
Amerika Syarikat dan Israel menentang status terbaharu itu manakala Singapura bertindak berkecuali.
Sebelum ini, Palestin hanya diberikan status sebagai entiti pemerhati menerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin pada 1974.
Bagaimanapun, status negara pemerhati bukan anggota itu membolehkan Palestin menyertai beberapa agensi PBB seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Palestin juga boleh mengemukakan dakwaan kekejaman Israel di Mahkamah Jenayah Antarabangsa ekoran status baharu yang diperolehnya.
Duta Israel ke PBB, Ron Prosor mengutuk keputusan pengundian itu dengan menyatakan ia akan menyebabkan terdapat halangan untuk rundingan damai.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman berkata kepada sebuah stesen radio tempatan, langkah Palestin itu menunjuk presidennya, Mahmoud Abbas tidak mempunyai minat untuk berdamai.
Keputusan undian itu juga menghiasi muka depan akhbar-akhbar Israel.
Akhbar harian HaYom menyiarkan tajuk yang menyatakan PBB memberikan hadiah kepada pihak pengganas.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan, undian tersebut sebagai satu keputusan yang tidak bermakna.
Menurutnya, keamanan akan dapat dicapai hanya menerusi rundingan secara langsung seperti di Oslo pada tahun 1993.
Bekas Menteri Luar Israel, Tzipi Livi menyalahkan Netanyahu ekoran kejayaan terbaharu Palestin itu.
"Pemerintah mungkin dapat menghentikan inisiatif Palestin di PBB jika ia melakukan rundingan damai," katanya.
"Israel kalah," tambahnya dalam satu lagi kenyataan berasingan.
Sementara itu, Abbas menyatakan, beliau berharap status itu akan membuka laluan ke arah rundingan baharu secara langsung dengan Israel.
Rundingan secara langsung itu dibekukan lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, status baharu itu merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan pergolakan di Asia Barat menerusi penyelesaian kaedah penubuhan dua buah negara.
Kejayaan itu juga disambut oleh penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Seramai 4.3 juta penduduk Palestin tinggal di Tebing Barat, timur Baitulmuqaddis dan Genting Gaza.
Dalam perkembangan berkaitan, Israel mengumumkan untuk membina 3,000 penempatan haram di timur Baitulmuqaddis dan Tebing Barat selepas PBB meluluskan status baharu Palestin.
"Ya, betul, (penempatan haram itu) dibina di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat," kata Netanyahu tanpa memberi tahu lokasi tepat pembinaan itu.
Sementara itu, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh menyifatkan kelulusan yang diberikan PBB untuk Palestin menjadi sebuah negara bukan anggota bertaraf pemerhati di badan dunia itu sebagai suatu hari yang bersejarah.
"Ia suatu permulaan bagi merealisasikan hak negara Palestin," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Bernama.
Duta itu menyatakan lebih 65 tahun sudah berlalu, sejak Pelan Pemisahan diwujudkan tetapi malangnya negara Palestin tidak diiktiraf ataupun ditubuhkan.
Pelan Pemisahan memperuntukkan pembentukan sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2DrwfOkMO 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment