Pages

Thursday, December 13, 2012

AS lancar pesawat tanpa juruterbang ke angkasa lepas

Kosmo! Online - Dunia:


ROKET Atlas V yang membawa kapal angkasa lepas X-37B berlepas dari Stesen Tentera Udara di Cape Canaveral, Florida kelmarin.


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) kelmarin melancarkan kapal angkasa kecil futuristik tanpa juruterbang, X-37B untuk kali ketiga ke angkasa lepas.
Kapal angkasa sepanjang 8.9 meter dan berat 5,000 kilogram itu berlepas dari pusat pelancaran Stesen Tentera Udara AS di Cape Canaveral, Florida.
Ia dibawa oleh sebuah roket Atlas V pada pukul 1.03 tengah hari waktu tempatan.
Kapal angkasa itu kemudian akan berpisah dengan roket tersebut.
Misi kapal angkasa itu tidak didedahkan secara terperinci oleh Tentera Udara AS.
Firma United Launch Alliance yang wujud menerusi kerjasama antara Boeing dan Lockheed Martin menyiarkan imej penerbangan itu secara langsung di laman webnya.
Menurut firma tersebut, penerbangan itu adalah bagi menyokong eksperimen angkasa lepas.
Tentera AS pula memberitahu, program kapal angkasa itu adalah untuk memperkenalkan teknologi penerbangan angkasa lepas tanpa angkasawan.
Ia diperkenalkan ekoran penamatan misi kapal angkasa milik Pentadbiran Aeronautik Dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Bagaimanapun, ramai pakar angkasa lepas percaya kapal angkasa itu yang berupaya kembali semula ke Bumi merupakan sebahagian daripada program perisikan canggih AS atau berpotensi digunakan untuk mengganggu satelit negara-negara seterunya.
Projek X-37B itu dilancarkan NASA pada 1999.
Ujian pertama pesawat itu diadakan pada tahun 2010 dan mengelilingi Bumi selama tujuh bulan.
Dalam ujian kedua, pesawat tersebut mendarat pada Jun lalu selepas berada selama 469 hari dengan mengelilingi Bumi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2EvsOgAJu 
Hakcipta terpelihara 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment