Pages

Thursday, November 29, 2012

Pemuda Mesir miliki lengan terbesar dunia




MOUSTAFA mengangkat kedua-dua lengannya.


MILFORD, Massachusetts - Seorang pemuda berketurunan Mesir, Moustafa Ismail yang tinggal di sini dipercayai memiliki lengan paling besar di dunia.
Ukur lilit lengan Moustafa yang berusia 24 tahun itu ialah 79 sentimeter.
Pemuda itu makan tiga kilogram (kg) protein, 4.08kg karbohidrat dan minum air sebanyak 11.35 liter pada setiap hari .
Pihak Guinness World Records kini menimbang sama ada akan mengiktiraf Moustafa sebagai pemilik lengan terbesar di dunia.
"Mereka (penduduk) memanggil saya Popeye, Popeye Mesir.
"Bagaimanapun, tidak seperti watak kartun Popeye, saya suka makan ayam, daging dan apa jua makanan kecuali bayam," katanya.
Dia juga mengambil vitamin dan makanan tambahan lain.
Moustafa juga sukar untuk mencari baju yang sesuai dengan tubuhnya.
Dia mula berusaha untuk memperoleh bentuk lengan itu di bandar kelahirannya, Alexandria di Mesir sebelum berpindah ke Amerika Syarikat pada 2007 dan menetap di Franklin, barat daya Boston.
Moustafa melakukan senaman angkat berat selama dua jam hampir setiap hari.
Pemuda itu pernah mengangkat bebanan seberat 272kg.
Dia sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk sebagai pembantu di sebuah stesen minyak untuk membiayai senamannya di sebuah pusat kecergasan dan makanannya.
Namun, isterinya meminta dia meninggalkan salah satu pekerjaan kerana menganggap suaminya itu bekerja terlalu keras.
Pihak Guinness kemudian menghubunginya dengan menawarkan pemuda itu lawatan ke London, Britain untuk muncul bersama beberapa pemegang pelbagai rekod dunia termasuk wanita paling kecil di dunia.
Moustafa memenuhi undangan itu.
Bagaimanapun, kontroversi muncul kerana terdapat dakwaan di internet bahawa dia menggunakan dadah steroid dan menanam implan pada lengannya.
Beberapa pihak lain mendakwa, dia menyuntik minyak synthol yang digunakan oleh ahli bina badan.
Dia pernah pergi ke Tokyo untuk muncul dalam program dokumentari stesen televisyen Fuji yang menunjukkan beberapa doktor mengambil sampel darah manakala ototnya turut menjalani ujian X-ray.
Doktor-doktor itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan terlarang dalam tubuhnya.
Namun, pihak Guinness mengeluarkan nama Moustafa dalam laman webnya.
Jurucakap Guinness, Sara Wilcox berkata pada Oktober lalu, pihaknya masih melakukan penyelidikan dengan pakar-pakar perubatan berhubung kes Moustafa sebelum mengiktiraf lengannya. - AP

No comments:

Post a Comment