Pages

Tuesday, November 20, 2012

Korban serangan Zionis meningkat 96 orang



PENDUDUK Palestin berkumpul melihat sebuah rumah yang musnah selepas serangan udara tentera Israel di Khan Younis, selatan Genting Gaza.


GENTING GAZA - Serangan udara tentera Israel yang masuk hari keenam semalam meragut 13 lagi nyawa warga Palestin menjadikan angka korban keseluruhan kini meningkat kepada 96 orang.
Serangan itu berlaku ketika usaha gencatan senjata sedang giat dilakukan oleh para pemimpin antarabangsa bagi menamatkan kekejaman Zionis.
Serangan yang dilancarkan ke atas wilayah Genting Gaza kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh empat tahun.
Dalam pada itu, tentera Israel menyatakan, pihaknya telah berjaya mengambil alih sebuah program stesen televisyen milik Hamas.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa penganalisis politik berkata, pemimpin Israel berpuas hati dengan kejayaan Operation Pillar of Defence yang dilancarkan pada Rabu lalu bertujuan untuk menghentikan tembakan roket pejuang Hamas.
Operasi tersebut melibatkan serangan udara bertubi-tubi ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Sejak keganasan ke atas Genting Gaza bermula, Israel tidak henti-henti melakukan serangan udara dan langsung tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti walaupun serangan udara kian berkurangan sejak Jumaat.
Sehingga semalam, pihak tentera Israel berkata, ia telah membedil lebih daripada 1,350 kawasan Gaza manakala pejuang Hamas telah menembak lebih 850 roket ke Tel Aviv dan satu ke Baitulmuqaddis.
Kelmarin, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, pasukan tentera daratnya kini bersedia untuk menggempur Genting Gaza bagi menentang pejuang Hamas.
Stesen radio awam melaporkan seramai 40,000 pasukan tentera simpanan kini bersiap sedia berhampiran sempadan Gaza.
Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Hisham Kandil berkata, usaha damai yang dikelolakan pihaknya sedang berjalan dan peluang untuk menamatkan peperangan adalah cerah.
"Rundingan sedang berjalan sekarang ini dan saya berharap kami akan mencapai sesuatu bagi membolehkan keganasan dihentikan," kata Hisham dalam satu wawancara di Kaherah. - Agensi

No comments:

Post a Comment