Pages

Sunday, November 25, 2012

Kehidupan di Gaza kembali pulih


Seorang remaja Palestin yang diperhatikan dua rakannya, menggunakan cangkul bagi memperbaiki terowong penyeludupan yang musnah akibat bedilan tentera Israel di selatan Genting Gaza berhampiran sempadan Rafah, kelmarin. - Reuters


TEL AVIV 23 Nov. - Penduduk Palestin dan Israel di kedua-dua belah sempadan Gaza kembali menjalani kehidupan seperti biasa semalam, sehari selepas gencatan senjata yang menamatkan lapan hari keganasan di wilayah itu.
Namun, Israel memberi amaran jika Hamas melanggar perjanjian damai sementara itu, mereka tidak teragak-agak melancarkan serangan semula sebagai tindak balas.
Pada sebelah pagi, penduduk Palestin di Gaza meluangkan masa untuk melawat rakan-rakan dan ahli keluarga mereka yang cedera di hospital atau memantau kesan kemusnahan akibat serangan udara rejim Zionis Israel.
Menjelang petang, saksi berkata, kehidupan kembali pulih dengan kenderaan dan pejalan kaki kelihatan di jalan-jalan raya, manakala kedai-kedai kembali dibuka.
Penduduk turut mengambil peluang untuk menambah bekalan simpanan makanan selepas seminggu tidak dapat berbuat demikian ekoran serangan udara Israel.
Namun, sekolah-sekolah di Israel yang terletak dalam lingkungan 40 kilometer dari Gaza masih ditutup dan pihak berkuasa menasihati agar penduduk sentiasa berjaga-jaga.
Sekurang-kurangnya 164 penduduk Palestin maut, separuh daripada mereka orang awam dalam serangan udara rejim Zionis Israel selama lapan hari lalu, manakala di pihak Israel, enam penduduknya terbunuh akibat serangan roket dan mortar Hamas.
Sementara itu, China hari ini menyuarakan sokongan kepada Palestin berhubung konflik dengan Israel dan usaha wilayah itu untuk meningkatkan status mereka di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut wakil Palestin, Bassam al-Salhi yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Yang Jiechi, Beijing menyokong 'penghentian sebarang tindakan agresif rejim Zionis itu ke atas penduduk Palestin, selain turut menyalurkan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM3.07 juta).
Jurucakap tentera Israel, hari ini dalam pada itu mengumumkan pasukan keselamatan telah menahan pelaku pengeboman bas yang menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penduduk Israel cedera dalam serangan di Tel Aviv, kelmarin.
Suspek berasal dari Tebing Barat, tetapi telah diberi kerakyatan Israel di bawah skim penduduk Palestin berkahwin dengan Arab Israel.
Beberapa anggota Hamas yang dikatakan berasal dari perkampungan Beit Lakia di Tebing Barat, berhampiran Ramallah yang merancang serangan itu, turut ditahan.
Sementara itu, kematian pertama dicatatkan hari ini sejak Hamas dan Israel mencapai gencatan senjata apabila seorang penduduk Palestin ditembak mati tentera rejim Zionis berdekatan sempadan Gaza, lapor pasukan perubatan Palestin. - DPA/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121124/lu_01/Kehidupan-di-Gaza-kembali-pulih#ixzz2DEZeqkgv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment