Pages

Friday, November 9, 2012

Baharom tak mampu bayar kos RM12,000

Sri Wani Choo Abdullah
Sri Wani Choo Abdullah

KUALA LUMPUR - Suami pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, Profesor Dr Baharom Sanugi memberitahu Mahkamah Tinggi semalam dia tidak mampu membayar jumlah kos sebanyak RM12,000 yang ditetapkan mahkamah kerana tidak berkemampuan selepas tidak mempunyai pendapatan tetap akibat dibuang kerja.

Perkara itu dimaklumkan Peguamnya, Muhammad Hafiz Abd Rashid semasa prosiding hujahan kesnya yang memohon pergantungan bayaran kos yang ditetapkan Mahkamah Tinggi selepas empat permohonan yang difailkan Baharom sebelum ini ditolak mahkamah.

Muhammad Hafiz dalam hujahannya mendakwa demikian, sebagai salah satu alasan mengapa mereka memfailkan permohonan bagi menggantung arahan pembayaran kos berkenaan.

Selain itu, Mohd Hafiz berkata, selain tidak berpuas hati dengan sebahagian keputusan mahkamah iaitu berkaitan kos tersebut, mereka juga memohon pergantungan bayaran kos kerana telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan berkaitan kos tersebut.

“Sekiranya mahkamah ini tidak membenarkan pergantungan kos tersebut, ini menjadikan rayuan pemohon sia-sia dan tidak menjadi akademik,” hujahnya.

Sementara itu, Peguam Sri Wani, Mohamad Azrul Azhan Mohammad Jamil semasa membuat hujahan pula berkata, walaupun pihak pemohon telah memfailkan notis rayuan, namun pergantungan tersebut bukan dalam proses mahkamah rayuan.

“Pemohon juga memfailkan notis itu tidak menggunakan alamat beliau bermastautin iaitu di Batu Caves Selangor,” katanya.

Azrul turut membangkitkan beberapa perkara lain termasuk ketidakhadiran pemohon (Baharom) dalam dua prosiding mahkamah sebelum ini yang menunjukkan suami anak guamnya itu tidak bersungguh-sungguh dalam permohonan berkenaan.

Hakim Mohd Amran Mat Zain menetapkan 12 November ini untuk keputusan permohonan tersebut, bagi membolehkan mahkamah membuat penilaian selepas hujahan dan beberapa isu dibangkitkan kedua-dua pihak.

No comments:

Post a Comment