Pages

Friday, November 9, 2012

50 orang maut di Guatemala


Beberapa penduduk meninjau keadaan runtuhan bangunan akibat gempa bumi sekuat 7.4 skala Richter yang menggegarkan San Marcos, kelmarin. - AGENSI
SAN MARCOS 8 Nov. - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.4 skala Richter menggegarkan kawasan barat daya Guatemala semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 50 orang dan mencederakan 150 orang yang lain.
Gempa yang turut menggegarkan negara jiran, Mexico dan El Salvador turut mencetuskan amaran tsunami kepada penduduk sekitar pantai El Salvador.
Ia mengakibatkan penduduk yang panik mengosongkan pejabat, kediaman dan sekolah ketika gempa dapat dirasai hingga jauh ke kawasan utara seperti Mexico City.
''Kami meratapi kematian 50 orang penduduk, satu jumlah yang mungkin meningkat kerana terdapat lagi kira-kira 23 orang yang masih hilang,'' kata Presiden Guatemala, Otto Perez selepas melawat kawasan gempa.
Perez berkata, jumlah kematian terbanyak berlaku di bandar San Marcos dengan 39 nyawa terkorban, manakala selebihnya di dua wilayah yang majoriti penduduknya adalah puak Maya.
Katanya, gempa bumi yang berlaku kira-kira 10.35 pagi waktu tempatan telah mencemaskan 16,000 penduduk Guatemala.
''Beberapa bandar mengalami masalah kekurangan bekalan air minuman atau elektrik.
''Pihak berkuasa telah membuka 11 tempat perlindungan sementara yang boleh menempatkan seramai 800 orang,'' katanya.
Dalam kejadian di Kampung San Cristobal Cucho, satu keluarga terdiri daripada 10 orang tertimbus hidup-hidup setelah rumah mereka ditimpa runtuhan batu dan tanah dari sebuah bukit berhampiran.
Sementara itu, Pusat Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa yang berlaku pada waktu pagi itu berpusat pada kedalaman 41.6 kilometer, 24 kilometer selatan bandar Champerico dan 163 kilometer barat daya Guatemala City. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121109/lu_01/50-orang-maut-di-Guatemala#ixzz2BjcUfqKO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment