Pages

Saturday, October 6, 2012

Tentera Syria terus bedil Homs, Aleppo

KERETA kebal Turki berkawal di sempadan negara itu dengan Syria di Akcakale semalam.
DAMSYIK - Sejumlah jet pejuang Syria yang dibantu unit meriam dan kereta kebal membedil kubu pemberontak di bandar raya Homs, tengah negara berkenaan semalam, kata beberapa aktivis.
Serangan tersebut adalah yang paling hebat ke atas kedudukan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) sejak beberapa bulan lalu.
Bedilan meriam dan kereta kebal serta jet pejuang itu dilancarkan serentak dengan serangan ke atas kedudukan FSA di bandar raya Aleppo, utara Syria.
Tindakan tentera Presiden Bashar Al-Assad memperhebatkan serangan ke atas FSA menunjukkan Damsyik tidak menghiraukan ketegangan yang kian memuncak dengan jirannya, Turki.
Semalam, Parlimen Turki meluluskan operasi ketenteraan di luar sempadan negara berkenaan jika keadaan memerlukan selepas sebutir peluru meriam Syria tersasar ke kawasan penduduk awam di Turki.
Seramai lima orang awam maut dalam insiden tersebut kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di Britain melaporkan, serangan tentera Syria kali ini mengenai beberapa kawasan penempatan awam di Khaldiya, dalam bandar raya Homs.
"Sekitar waktu subuh, tentera Bashar seperti menggila, mereka menghujani kawasan ini dengan peluru meriam," kata seorang aktivis di Homs yang dikenali sebagai Abu Rami kepada agensi beritaAssociated Press (AP) melalui satu panggilan video semalam.
"Sebanyak lima peluru meriam atau roket mengenai kawasan ini pada setiap minit," tambahnya.
Lelaki tersebut berkata, bedilan roket dan artileri itu disasarkan ke atas beberapa kedudukan FSA di kawasan Homs Lama, Khaldiya, Qusour dan Jouret El-Shayah di bandar raya berkenaan.
Katanya, masih belum ada laporan berhubung angka kecederaan atau kematian akibat serangan terbaharu itu.
Kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahan Bashar yang bermula pada Mac tahun lalu merebak menjadi perang saudara.
Menurut kumpulan pemerhati berkenaan, lebih 30,000 orang terbunuh sejak penentangan tersebut tercetus. - Agensi

No comments:

Post a Comment