Pages

Thursday, October 11, 2012

Tentera Syria bedil Homs, penduduk terkepung

Kosmo! Online - Dunia:
GAMBAR yang diperoleh menerusi video menunjukkan kepulan asap di bandar Homs akibat bedilan tentera Syria kelmarin.


BEIRUT - Tentera Syria semalam membedil bandar Homs pada awal pagi dan di bandar Qusayr dekat sempadan Lebanon, kata Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain.
Pihak tentera telah meningkatkan operasi ketenteraan di Homs dan Qusayr yang telah dikepung sejak beberapa bulan lalu.
Seorang aktivis di Bandar Lama Homs menyatakan, semua kawasan di daerah tersebut telah dikepung.
"Tiada jalan keluar. Situasi kini amat buruk dan membuat setiap penduduk menangis," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bilal.
"Hospital-hospital dipenuhi dengan ramai penduduk yang cedera dan memerlukan pembedahan. Tiada sebarang jalan keluar," tambahnya.
Bandar tersebut telah dikepung lebih empat bulan oleh tentera Syria yang berdepan dengan tentangan kumpulan pemberontak.
Kumpulan pemberontak itu menentang kepimpinan Presiden Bashar Al-Assad.
"Kami menghubungi Jawatankuasa Antarabangsa Palang merah dan Bulan Sabit untuk datang bagi menghulurkan bantuan," kata aktivis itu.
Sementara itu, Turki memberi amaran akan menyerang balas dengan lebih hebat jika bedilan mortar dan meriam mengenai wilayahnya.
"Kami akan bertindak balas dengan serangan lebih hebat," kata Ketua Turus Angkatan Tentera Turki, Necdat Ozel.
Pada minggu lalu, Turki dan Syria saling berbalas bedilan di kawasan sempadan sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik di Syria akan merebak di rantau tersebut.
Penentangan ke atas rejim Bashar bermula pada Mac tahun lalu sebelum merebak menjadi perang saudara yang meragut lebih 32,000 nyawa setakat ini. - Agensi

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment