Pages

Friday, October 26, 2012

56 korban baru di Rakhine


     
YANGON: Seorang pegawai kerajaan berkata, 56 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah dibakar dalam keganasan etnik terbaru di barat Myanmar.

Jurucakap kerajaan tempatan Rakhine, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh ialah 25 lelaki dan 31 wanita.
Jumlah kematian itu diterima setakat jam 7 malam waktu tempatan di empat bandar yang dilanda keganasan sejak Ahad lalu.

Menurutnya, 1,900 rumah dibakar dalam konflik terbaru antara penduduk Islam Rohingya dengan penduduk Buddha.

Laporan sebelum ini menyatakan beribu-ribu penduduk Islam terpaksa lari menyelamatkan diri ke kem pelarian.


Mereka terpaksa menumpang di kem berkenaan dengan hanya keperluan asas.

Keganasan di kawasan sama Jun lalu meragut 95 nyawa dan ratusan ribu hilang tempat kediaman.

“Anggota tentera kini membantu mengawal keadaan,” kata Win Myang.

Kerajaan Myanmar semalam menguatkuasakan perintah berkurung di beberapa kawasan di Rakhine.

Sejumlah besar penduduk Islam melarikan diri di Sittwe, bandar utama Rakhine, dengan bot. Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan lebih 1,000 pelarian tiba di Sittwe setiap hari sejak Ahad lalu.

Jurucakapnya di Bangkok, Vivian Tan berkata: “Ramai lagi dijangka tiba.

“Mereka mahu mencari perlindungan di kem pelarian berdekatan Sittwe, yang kini sudah terlalu padat.”

Puluhan ribu lagi ditempatkan di kem lain di sekitar bandar itu.

Dalam pada itu, penduduk Buddha yang diterajui kumpulan sami megadakan tunjuk perasaan, mendesak pihak berkuasa Myanmar mengusir penduduk Islam dari negara itu.

Penduduk Islam Rohingya di Myanmar yang tidak diiktiraf kerajaan negara itu sudah sekian lama dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai golongan minoriti yang paling dianiayai di dunia.

Sementara itu, kumpulan utama masyarakat Islam Myanmar mengambil keputusan untuk membatalkan perayaan Aidiladha yang bermula hari ini.

Kumpulan pemerhati hak asasi manusia berkata, mereka bimbang jumlah yang terbunuh dalam keganasan terbaru penduduk Buddha Myanmar mungkin jauh lebih tinggi. - AFP

No comments:

Post a Comment