Pages

Sunday, October 28, 2012

146 maut pertempuran hari pertama

Beberapa anggota Tentera Pembebasan Syria (FSA) melihat beberapa mayat anggota tentera kerajaan di bandar Haram, wilayah Idlib, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 27 Okt. - Gencatan senjata yang diumumkan di Syria sempena menghormati Aidiladha, tidak mampu dipertahankan apabila 146 orang maut dalam pertempuran pada hari pertama perayaan itu semalam.
Mereka yang terkorban ialah 53 orang awam, 50 anggota pemberontak dan 43 askar tentera Syria dalam pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain berkata, jumlah kematian tersebut dijangka meningkat ekoran pertempuran baru masih berlaku pada hari ini.
Sebelum ini, kerajaan Syria dan kebanyakan komander pemberontak bersetuju untuk melakukan gencatan senjata yang dianjurkan utusan khas Liga Arab-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi sempena sambutan Aidiladha.
Bagaimanapun, ketenangan gencatan senjata itu hanya dicapai selama beberapa jam sebelum pertempuran mula meletus.
Pertempuran terbaru hari ini berlaku di Damsyik, Aleppo dan Daraa selain Deir Ezzor yang menyaksikan empat orang termasuk seorang kanak-kanak maut.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, tentera Syria melancarkan serangan dengan menyasarkan beberapa kawasan di Damsyik di mana seorang mati ditembak oleh penembak tepat dan seorang lagi maut dalam serangan bom.
''Sejumlah orang turut cedera dalam serangan tentera di beberapa kawasan di Aleppo,'' kata badan pemantau tersebut.
Badan pemantau itu berkata, lebih 35,000 orang maut dalam konflik yang bermula sejak 19 bulan lalu.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria bergantung kepada jaringan aktivis dan anggota pasukan perubatan di hospital awam dan hospital tentera untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian yang berlaku di sana. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121028/lu_02/146-maut-pertempuran-hari-pertama#ixzz2AXaNYAOm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment