Pages

Sunday, September 2, 2012

Tindakan naif desak tentera berundur



TENTERA Pembebasan Syria (FSA) berlindung selepas tentera Syria melancarkan serangan mortar di barat laut Aleppo pada 30 Ogos lalu. - REUTERS
MOSCOW 1 Sept. - Rusia hari ini menyifatkan kuasa luar sebagai ‘naif’ jika mahu mendesak Presiden Syria, Bashar Al-Assad mengundurkan tenteranya terlebih dahulu sebelum diikuti oleh pemberontak dari kawasan pertempuran.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, kuasa Barat dan negara-negara Arab tidak mempunyai hak untuk memberitahu Damsyik agar ‘menyerah diri’.
“Desakan kuasa luar itu tidak adil kerana mereka meminta agar kerajaan Syria terlebih dahulu mengundurkan tenteranya dari kawasan pertempuran dan kemudian kumpulan menentang akan melakukan perkara yang sama.
“Tindakan itu disifatkan sama ada sebagai naif atau sengaja melancarkan provokasi," kata Lavrov ketika menjawab pertanyaan daripada pelajar Hubungan Antarabangsa Institut Negeri di Moscow.
Sementara itu, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Kofi Annan tamat tempoh jawatan yang dipegangnya sejak Februari lalu semalam, tanpa mampu menyelesaikan konflik berterusan di negara itu.
Hari ini, jawatan itu diserahkan kepada seorang lagi veteran badan itu, Lakhdar Brahimi, yang juga merupakan bekas Menteri Luar Algeria.
Tidak seperti Annan, yang sejak enam bulan lalu menjalankan tugas di Geneva, Brahimi pula akan ditempatkan di ibu pejabat PBB, New York.
Dipercayai, keputusan tersebut dilakukan bagi memudahkan Brahimi mempengaruhi Majlis Keselamatan badan itu agar bersatu bagi menghentikan konflik di Syria.
Annan, yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai persaraannya, menyalahkan majlis tersebut yang terdiri daripada 15 negara kerana gagal memujuk kerajaan Syria dan pembangkang menamatkan konflik yang berlarutan selama lebih 17 bulan.
“Ia merupakan sebuah misi yang boleh dicapai kejayaannya seandainya semua pihak yang terlibat mencapai kata sepakat," kata jurucakap Annan, Ahmad Fawzi.
Menurutnya, walaupun semua yang terlibat menyatakan sokongan, namun ia tidak sampai ke peringkat paling tinggi dan gagal mempengaruhi pihak yang terlibat agar menamatkan pertikaian.
Annan memperkenalkan pelan keamanan enam penjuru termasuk mengadakan gencatan senjata yang sepatutnya bermula pertengahan April lalu, namun ia tidak dilaksanakan.
Kata Ahmad, pengkritik yang mendakwa proses tersebut memberi rejim masa tetapi gagal dilaksanakan kerana pembunuhan masih berlaku, adalah tidak adil disebabkan keadaan itu sudah berlarutan sejak Annan belum dilantik ke jawatan tersebut lagi.
Sementara itu, Brahimi yang pernah menjadi utusan khas PBB ke Afghanistan dan Iraq, berkata, tugas pertamanya adalah meyakinkan pihak yang terlibat dalam Majlis Keselamatan yang selama ini merendahkan usaha Annan agar bersatu bagi menyelesaikan konflik tersebut. - AFP

No comments:

Post a Comment