Pages

Saturday, September 29, 2012

Serangan sengit di Aleppo

seorang anggota Tentera Pembebasan Syria melepaskan tembakan daripada
mesin gun semasa bertempur dengan tentera kerajaan di Aleppo, kelmarin. - AFP
ALEPPO 28 Sept. - Pemberontak melancarkan serangan besar-besaran secara berterusan ke atas tentera kerajaan di Aleppo, hari ini selepas mereka mengisytiharkan serangan habis-habisan di bandar kedua terbesar di Syria itu, menurut penduduk dan Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pengarah pertubuhan itu, Rami Abdel Rahman berkata, serangan yang dilancarkan tanpa henti itu sejak semalam yang sepatutnya terhad di beberapa kawasan, kini merebak ke seluruh bandar ini menyebabkan ruang udara di bandar ini diselimuti asap.
"Serangan kali ini paling besar pernah dilancarkan dan masih belum berhenti sejak semalam. Sebelum ini pertempuran terhad kepada satu atau dua blok bangunan, namun kini ia merebak di beberapa kawasan," katanya.
Penduduk di kawasan tersebut turut mendakwa pertempuran kali ini merupakan yang terburuk dalam tempoh dua bulan.
"Bunyi letupan berlarutan. Saya tidak pernah mendengar bunyi seperti ini," kata seorang penduduk, Ziad.
Pemberontak terdiri daripada askar yang berpaling tadah dan orang awam yang mengangkat senjata bagi menentang Presiden Bashar al-Assad, melancarkan serangan ke atas Aleppo bermula semalam.
"Malam ini, Aleppo akan menjadi hak kami atau kami akan tewas," kata komander pemberontak, Abu Furat, semalam.
Selepas ucapan itu, sebanyak 16 serangan mortar dilancarkan bermula pada pukul 5 petang (waktu tempatan) hingga pukul 7.30 malam, dengan tembakan didengar setiap 15 minit di tiga kawasan yang dikawal tentera termasuk di Sulimaniyeh dan Sayyid Ali. - AFP

No comments:

Post a Comment