Pages

Monday, September 24, 2012

Nasib anak kahwin bapa sendiri tanpa sedar

OHIO - Gempar! Ujian DNA yang dijalankan ke atas sebatang berus gigi akhirnya mendedahkan satu rahsia ‘gelap’ hubungan anak dan bapa.

Pendedahan itu hampir meragut nyawa, memusnahkan hubungan institusi kekeluargaan dan meruntuhkan iman.

Kisah benar ini terbongkar selepas kematian suaminya yang merungkai siapa sebenarnya suami ataupun bapa kepada seorang wanita, Valerie Spruill.

Bagi Spruill, apa yang berlaku adalah tidak masuk akal dan tidak menyangka dia telah mengahwini ‘bapanya’ yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

“Perkara ini sangat buruk dan boleh memusnahkan hidup seseorang. Malah ia hampir musnah,” katanya ketika dihubungi wartawan CNN, Khamis lalu.

Kisah peribadi Spruill, 60, wanita yang berasal dari Doylestown, Ohio mula diterbitkan bulan ini dalam Akron Beacon Journal dengan tujuan dapat membantu orang lain yang menghadapi masalah sama dan diambil iktibar.

Ia adalah sebuah kisah yang menimbulkan persoalan tentang bagaimana perkara itu berlaku dan mampu menarik perhatian orang jauh termasuk di India dan Australia.

Persoalan yang sama terbit di hati Spruill sendiri sehingga dia terpaksa bergelut dengan kebenaran semenjak dia mengetahui kebenarannya pada 2004 iaitu enam tahun selepas suaminya, Percy Spruill meninggal dunia.
“Saya tidak tahu sama ada dia tahu atau tidak kerana perbincangan mengenai perkara itu tidak pernah timbul.
“Saya rasa, kalau dia tahu pun, dia semestinya tidak akan memberitahu saya,” ujarnya kesal.
Spruill sebelum ini telah mengesahkan DNA yang ditemui pada berus gigi suaminya.
Sebaik mengetahui kebenaran itu, Spruill berhadapan dengan tekanan emosi dan fizikal yang teruk sehingga diserang strok dua kali dan telah didiagnosis mendapat diabetes.
“Sakit dan tekanan akan membunuh diri saya tetapi saya terpaksa melepaskan tekanan ini.
“Saya hanya memberitahu cerita untuk melepaskan kesakitan saya,” kata Spruill.
Bagaimanapun, Spruill percaya Tuhan sedang mengujinya kerana melalui pengalaman ini telah membentuk hidupnya.
Bercerita mengenai detik perkenalan pasangan itu, Spruill berkata, dia bertemu suaminya di Akron dan menetap di Doylestown, sebuah pinggir bandar untuk golongan pekerja yang terletak kira-kira 2.3 kilometer dari pusat bandar New York.
Itu adalah perkahwinannya yang kedua. Spruill digambarkan sebagai seorang suami yang baik dan tidak lokek. Dia juga dikatakan memberi layanan yang baik terhadap ‘anak-anak tirinya’.

“Kami mempunyai kehidupan yang baik,” katanya.

Pada mulanya, dia terpaksa berhadapan dengan kemarahan dan membenci suaminya atas apa yang berlaku.
Namun, melalui proses terapi dia akhirnya mulai menerima apa yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sebaliknya, semua itu ialah ketentuan takdir.
Kebelakangan ini, dia turut dihubungi beberapa pasangan yang senasib dengannya.
Mereka memberitahu Spruill, kisahnya itu menjadi teladan kepada mereka untuk menguruskan kisah masing-masing.
“Mereka cuba berkawan dengan saya sekarang,” katanya.
Sementara yang lain, masih sukar dan kurang mesra.
“Ada yang berpendapat, ‘apa yang rahsia, biarlah rahsia’.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa tentang pendapat mereka itu. Saya hanya tahu apa yang saya fikirkan.
“Tuhan Maha Berkuasa dan Dia telah mengajar kita untuk berkata benar walau dalam situasi apa pun,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Spruill mengakui, tidak ramai di antara mereka yang berkata benar dan dia telah mempelajarinya daripada pengalaman sejak dari kecil.
Mengimbau kisah lalu, ibu Spruill telah hamil masih remaja ketika berpacaran dengan bapanya yang ketika itu berusia 15 tahun.

Selepas dilahirkan, Spruill yang baru berusia tiga bulan telah diserahkan ibunya untuk dijaga oleh datuk dan neneknya, di mana selama ini dia menganggap sebagai orang tua kandungnya.
Ketika berusia lapan atau sembilan tahun, barulah Spruill mengetahui bahawa wanita yang sering datang menziarahinya itu ialah ibu kandungnya yang sebenar dan bukannya kawan keluarganya seperi yang didakwa sebelum ini.
Namun, tidak ada sesiapa pernah membicarakan mengenai siapa bapa kandungnya sebelum ini.
Kini, tiada siapa yang tinggal untuk memberikan Spruill jawapan mengenai suaminya itu. Ibunya, Christine meninggal dunia pada 1984 manakala kedua orang datuk dan neneknya pula telah lama meninggal dunia.
Sebelum ini, Spruill telah mengetahui ibunya bekerja sebagai pelacur dan pernah ditahan pada 1980 kerana terlibat skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan James Barbuto, seorang hakim yang disabitkan bersalah kerana mengugut dan memaksa melakukan seks kasar ke atas seorang kerani mahkamah di pejabatnya.
“Ibu telah mencurahkan seluruh kasih sayangnya kepada saya. Walau apa pun yang telah berlaku, saya tidak akan pernah menyesal ataupun merungut,” katanya.
Bagaimanapun, dia percaya, dia masih mempunyai adik beradik kandung dan tiri dari suaminya, termasuk di sebelah ibunya.
Katanya, dia ingin mencari mereka dan memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.
Kini, Spruill bahagia bersama tiga orang cahaya mata dan lapan orang cucu.
Dia sebelum ini terpaksa berhadapan dilema untuk memberitahu anak-anaknya bahawa lelaki yang menjadi bapa tiri  mereka itu sebenarnya adalah datuk mereka sendiri.
Spruill yang sebelum ini terpaksa mendapatkan sokongan dari pakar terapi, "bantu saya untuk memberitahu anak-anak saya,” katanya.
“Saya telah memaklumkan kepada mereka dua tahun lalu dan mereka benar-benar terkejut mengenai perkara itu. Namun, penerimaan mereka jauh lebih baik berbanding saya.”
Beberapa hari sebelum rahsia ini diketahui umum, Spruill memberitahu cucu-cucunya.
"Mereka benar-benar menyokong saya. "Mereka juga kata mereka tetap sayangkan saya dan perlu beritahu apa yang diperlukan oleh saya,” jelasnya lagi.

Semenjak bersara dari jabatan perakaunan Goodyear di mana beliau telah bertugas selama 34 tahun, dia mengisi masa lapangnya dengan menulis kisah hidupnya dan berharap dapat menerbitkannya kelak.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diberi peluang untuk melalui kehidupan ini.
"Ia juga merupakan satu keajaiban kerana saya masih di sini dan saya mahu orang lain tahu, jika mereka turut melalui pengalaman seperti saya, mereka tetap boleh meneruskan kehidupan," katanya lagi.
* Dipetik dari laporan CNN

No comments:

Post a Comment