Pages

Thursday, September 6, 2012

Jumlah pelarian Syria meningkat 234,368 orang



Pelarian kanak-kanak Syria menikmati makan tengah hari di kem pelarian Za'atri di bandar Mafraq, Jordan, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 5 Sept. - Lebih 100,000 rakyat Syria melarikan diri dari negara itu pada bulan lalu, jumlah tertinggi dalam tempoh sebulan sejak konflik di negara itu bermula pada Mac 2011, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Agensi itu berkata, jumlah tersebut menjadikan angka pelarian Syria kini meningkat kepada 234,368 orang dalam tempoh 17 bulan.
Namun, angka itu hanya mengambil kira mereka yang mendaftar atau menunggu untuk didaftarkan, menjadikan kemungkinan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
Laporan agensi itu dan aktivis menyatakan, jumlah kematian pada bulan lalu juga adalah yang tertinggi dengan 5,000 orang terkorban.
Ia sekali gus menjadi petanda kepada kesengsaraan hidup di Syria ketika pertempuran antara askar pimpinan Presiden Bashar al-Assad dengan pemberontak semakin buruk.
"Jika anda melihatnya secara mendalam, ia merupakan satu angka yang menghairankan.
"Ia merujuk kepada peningkatan mendadak jumlah pelarian dan pencari suaka politik yang kemungkinan juga merujuk kepada situasi ganas serta berbahaya di negara itu,'' kata juruckap UNHCR, Melissa Fleming di Geneva, semalam.
Para pegawai berkata, jumlah sebenar pelarian Syria mungkin melebihi 200,000 orang kerana berpuluh ribu dipercayai masih belum menghubungi pihak berkuasa.
Pemberontakan bermula dengan demonstrasi aman membantah pentadbiran Assad, tetapi akhirnya menjadi konflik yang menyaksikan lebih 23,000 orang maut setakat ini. - AGENSI

No comments:

Post a Comment