Pages

Monday, September 24, 2012

Iran mungkin serang Israel

TEHERAN: Iran mungkin melancarkan serangan terhadap Israel jika rejim Zionis itu melakukan persiapan untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Pegawai kanan Pengawal Revolusi, Brigadier Jeneral Amir Ali Hajizadeh memberi amaran itu sehari selepas ketuanya berkata, peperangan antara kedua-dua negara itu pasti berlaku.


“Perang Dunia Ketiga akan meletus sekiranya Israel dan Iran terbabit dalam konflik ketenteraan,” kata Amir yang bertanggungjawab terhadap sistem peluru berpandu Pengawal Revolusi.

“Iran akan melancarkan serangan jika Israel melakukan persiapan sepenuhnya untuk menyerang kami. Tetapi, buat masa ini, kami tidak melihat Israel sudah bersiap sedia untuk menyerang,” katanya.


Beliau juga berkata, Iran akan melihat sebarang serangan yang dilakukan Israel sebagai sudah mendapat kebenaran daripada Amerika Syarikat.


“Kerana itu, sama ada rejim Zionis itu menyerang dengan pengetahuan atau tanpa pengetahuan Amerika Syarikat, kami tetap akan menyerang pangkalan Amerika di Bahrain, Qatar dan Afghanistan,” katanya.

Beliau juga memberi amaran, Israel tidak akan dapat menggambarkan tindak balas Iran.


“Ia akan menanggung kerugian amat besar yang akan membawa kepada kemusnahannya dari muka bumi ini,” kata Amir.

Israel dan Amerika Syarikat percaya program nuklear Iran bertujuan menghasilkan senjata nuklear yang berupaya mengancam kewujudan negara Yahudi itu serta statusnya sebagai satu-satunya negara Asia Barat yang memiliki senjata nuklear.


Kelmarin, Ketua Pengawal Revolusi, Jeneral Mohammad Ali Jafari, berkata, peperangan Iran dengan Israel pasti berlaku, tetapi bila dan di mana, belum dapat dipastikan. - AFP

No comments:

Post a Comment