Pages

Tuesday, September 18, 2012

Hassan cadang protes seminggu

BEIRUT: Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah, menggesa umat Islam Lubnan mengadakan protes seminggu membantah sebuah filem mempersenda Islam sebagai simbol campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Kata Hassan, seluruh dunia perlu melihat sendiri kemarahan “pada wajah, genggaman tangan dan laungan” umat Islam ekoran penerbitan filem berkenaan.

Menurutnya, dia sengaja menangguhkan gesaan itu sehingga pemimpin tertinggi Kristian, Pope Benedict XVI, meninggalkan Lubnan selepas mengadakan lawatan bersejarah selama tiga hari ke situ.

Dalam lawatan berkenaan, Pope Benedict turut mendoakan pemimpin Timur Tengah berusaha mencapai keamanan dan perpaduan.

Hassan berkata, umat Islam di seluruh dunia juga perlu membantah filem berkenaan yang dianggapnya sebagai “serangan paling buruk ke atas Islam.” “Ia jauh lebih jahat berbanding novel Satanic Verses karangan Salman Rushdie, pembakaran al-Quran di Afghanistan dan lakaran kartun di media Eropah,” katanya. Ekoran penerbitan filem Innocence of Muslims, umat Islam sedunia bangkit menyatakan kemarahan atas penghinaan pembuatnya. Di Kabul, Afghanistan, kira-kira 1,000 orang turun ke jalan raya sambil melontar batu ke arah pangkalan tentera AS sambil melaungkan kutukan terhadap negara berkenaan. Dua kereta polis juga dibakar di sebatang jalan di Jalalabad, yang menempatkan pangkalan tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Kenyataan Hassan semalam dikeluarkan selepas pertubuhan al-Qaeda Di Semenanjung Arab (AQAP) menggesa lebih banyak keganasan dilakukan ke atas misi diplomatik AS di Timur Tengah dan Afrika.

AQAP juga menggesa serangan dilakukan ke atas kepentingan AS di Barat. - AFP

No comments:

Post a Comment