Pages

Sunday, September 2, 2012

Gempa bumi 7.6 skala Richter gegar Filipina



MANILA 31 Ogos - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.6 skala Richter menggegarkan Filipina malam ini, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan kepada beberapa negara.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada pukul 8.47 malam waktu Malaysia dan berpusat di perairan timur negara ini, kira-kira 146 kilometer ke pekan Guiuan di wilayah Samar pada kedalaman 32 kilometer.
USGS sebelum itu mengeluarkan ukuran gempa sekuat 7.9 skala Richter sebelum menurunkannya kepada 7.6.
Amaran tsunami dikeluarkan kepada Filipina, Indonesia, Taiwan, Jepun, Papua New Guinea, dan Haiwaii.
Amaran yang dikeluarkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik itu, bagaimanapun ditarik balik buat Jepun, Taiwan dan beberapa kepulauan Pasifik.
Pusat tersebut turut meramalkan Indonesia menjadi destinasi pertama tsunami, diikuti Filipina seawal pukul 9.35 malam waktu Malaysia.
Berdasarkan laporan terkini, gempa tersebut memusnahkan beberapa jambatan dan jalan raya, menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi.
Dalam pada itu, Ketua Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS), Renato Solidum berkata, penduduk yang tinggal di tepi pantai sudah diarahkan berpindah ke kawasan selamat.
"Ombak tsunami boleh mencapai setinggi satu meter dan mendatangkan kemusnahan yang teruk," katanya.
Sementara itu di Indonesia, Ketua Teknikal Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, Suharjono berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai tsunami di negara itu.
"Kami telah mengeluarkan amaran kepada penduduk di wilayah Papua dan Maluku agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," ujarnya.
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya memberitahu, gempa tersebut berlaku 1,145 kilometer timur laut dari Kinabatangan, Sabah.
''Penduduk di pantai timur dan utara Sabah serta utara Sarawak diminta menjauhi kawasan pantai," katanya.
Namun sehingga 9.13 malam tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada negara ini.
Menurut kenyataan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau perkembangan dan akan memaklumkan maklumat terkini.

No comments:

Post a Comment