Pages

Tuesday, September 18, 2012

Dua gunung berapi Indonesia meletus

Jakarta: Dua gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus semalam, memaksa pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk dekat kawasan berkenaan berjaga-jaga.

Gunung berapi Lokon di Sulawesi Utara dan Gamalama di Ternate, Maluku Utara mula meletus semalam, lapor Agensi Bantuan Bencana Nasional (BNPB). Lokon memuntahkan abu setinggi 1,500 meter selain lahar manakala Gamalama mengeluarkan abu yang menyelimuti sebuah bandar berdekatan.
Lokon yang terletak di daerah Tomohon meletus pada 7 malam kelmarin, kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho.

Letusan Lokon

Letusan itu memecahkan tingkap sebuah pos pemantauan dekat situ, katanya.
BNBP sudah memberi amaran kepada pentadbir tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk penduduk setempat, katanya lagi.
Penduduk tidak perlu dipindahkan buat masa ini tetapi mereka tidak boleh dekati kawasan lima kilometer dari gunung berapi, kata Sutopo.

BNPB juga meminta pentadbir Tomohon memberi maklumat terkini kepada penduduk.

Abu lonjak ke udara

Sementara itu, letusan Gamalama menyaksikan abu melonjak ke udara selama 15 minit pada jam 11 malam sebelum angin membawanya ke ibu kota Maluku Utara, Ternate.

Abu Gamalama menyelimuti kota itu dan mengurangkan jarak penglihatan kepada 50 meter, kata Sutopo.

Katanya, anggota pejabat BNPB di situ sudah mengunjungi kawasan berkenaan dan membentuk empat pusat bantuan bagi membantu penduduk jika letusan lebih besar berlaku.

Di sini juga kami belum dapati ada keperluan memindahkan penduduk. Tetapi, kami akan terus berjaga-jaga, katanya lagi.

Lokon sudah beberapa kali meletus. Kali terakhir ia meletus pada Julai 2011 yang memaksa lebih 5,200 penduduk dipindahkan.

Ia memuntahkan abu setinggi 3,500 meter. Pada 1991, letusannya menyebabkan seorang pelancong Switzerland maut.
Agensi

No comments:

Post a Comment