Pages

Thursday, September 6, 2012

Anggota polis berpaut pada cermin kereta




HUN-CHEOL kemudian berpaut pada cermin kereta itu.


BUSAN, Korea Selatan - Seorang anggota polis trafik di sini digelar sebagai John McClane Korea Selatan selepas dia meniru aksi hero filem Die Hard itu ketika menangkap seorang penjenayah, menurut media semalam.
Saluran berita Amerika Syarikat, CNN melaporkan Kim Hyun-cheol, 33, disanjung sebagai wira kerana keberaniannya berpaut pada cermin hadapan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang suspek selama 25 minit bagi menghalang lelaki berkenaan daripada melepaskan diri.
Hyun-cheol memperoleh ramai peminat di negara asalnya selepas klip video aksi lagak ngeri itu tersebar.
Menurut akhbar tempatan, Joongang Daily, Hyun-cheol pada mulanya meminta suspek berhenti selepas melihatnya membuat pusingan U secara haram di pusat bandar di sini.
Bagaimanapun semasa dia menulis saman untuk kesalahan tersebut, lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama keluarganya, Jeong mula memecut kenderaannya.
Selama 25 minit kemudian, suspek itu memecut keretanya dengan anggota polis berkenaan berpaut pada cermin kenderaan itu.
"Dia (suspek) seperti takutkan sesuatu. Dia cuma membuka sedikit tingkap keretanya," kata Hyun-cheol menurut akhbar Joongang Daily.
Akhirnya, lelaki itu terpaksa menghentikan keretanya kerana kesesakan lalu lintas.
Dia kemudian ditangkap semasa cuba melarikan diri.
"Saya nekad berpaut kereta itu kerana saya mengesyaki dia seorang penjenayah," jelas Hyun-cheol.
"Saya ingat saya akan mati. Saya tetap berpaut kerana saya benar-benar mahu menangkap lelaki ini," ujarnya.
Jeong kemudian didapati dikehendaki polis kerana beberapa kes jenayah berkaitan dadah.
Menurut Hyun-cheol, dia mengalami luka kecil di dada dan kakinya dan memerlukan masa tiga minggu untuk sembuh sepenuhnya.
CNN melaporkan Hyun-cheol telah dinaikkan pangkat selepas kejadian itu.
Imej itu dirakamkan pada 26 Ogos lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment