Pages

Monday, August 6, 2012

Susilo Bambang Yudhoyono pertahan Myanmar



JAKARTA 5 Ogos - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam satu isyarat yang kelihatan menyokong Myanmar berkata, negara itu telah melakukan sebaik mungkin bagi menangani ketegangan antara penduduk Rakhine dan etnik Rohingya.
Konflik di negeri Rakhine di barat Myanmar antara kedua-dua kumpulan itu bertukar menjadi pertempuran berdarah pada Mei dan Jun lalu.
“Kerajaan Myanmar kini menuju kepada sebuah negara demokrasi, termasuk mendamaikan komuniti bertelagah, selain membentuk satu jawatankuasa siasatan selepas konflik etnik itu memuncak," kata Susilo dalam satu sidang media di kediamannya di Cikeas, Jawa Barat, semalam.
Kenyataan itu dibuat ketika meningkatnya bantahan terhadap tindakan Myanmar yang tidak ‘bertanggungjawab’ berhubung keganasan yang memaksa beribu-ribu etnik Rohingya yang beragama Islam melarikan diri dari negara itu.
Rakyat Indonesia sebelum ini menggesa kerajaan membantu beratus-ratus pelarian dan pencari suaka politik Rohingya, terutama mereka yang terperangkap di beberapa tempat di negara ini.
Pengkritik turut meminta kerajaan memfailkan bantahan rasmi terhadap kerajaan Myanmar selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia antarabangsa melaporkan tentera negara itu membunuh, merogol dan melakukan penahanan besar-besaran ke atas penduduk Rohingya.
Susilo bagaimanapun berkata, beliau percaya kerajaan Myanmar telah maklum tentang kritikan itu.
Menurut Susilo, beliau sedang cuba menjelaskan situasi sebenar di Myanmar selepas mendengar laporan daripada Duta Indonesia ke Myanmar dan Menteri Luar, Marty Natalegawa.
Beliau turut mendakwa Myanmar telah melakukan semua langkah perlu untuk membantu menyelesaikan isu itu, terutamanya melalui hubungan diplomatik dan forum antarabangsa seperti ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, badan Islam utama India, Jamaat-e-Islami Hind (JIH) menyifatkan kekejaman ke atas etnik Rohingya sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan dan bertentangan dengan undang-undang dan konvensyen antarabangsa.
Ketika ditemui media dalam satu majlis berbuka puasa semalam, JIH turut menuntut kekejaman itu dihentikan dan hak etnik Rohingya dibela kerana mereka adalah rakyat negara itu yang telah menetap di Rakhine berabad-abad lamanya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment