Pages

Tuesday, August 21, 2012

Rohingya, penganut Buddha bantah libat PBB


YANGON 20 Ogos - Kira-kira 100 penganut agama Buddha Rakhine mengadakan demonstrasi selama satu jam di luar bekas bangunan Parlimen, di sini hari ini bagi membantah campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam konflik di Rakhine.
Demonstrasi tersebut berlaku selepas Presiden Thein Sein menubuhkan satu suruhanjaya khas untuk menyiasat punca keganasan etnik yang berlaku di negeri itu pada awal Jun lalu yang menyebabkan kira-kira 83 orang terbunuh.
Langkah itu selaras dengan permintaan wakil khas PBB, Tomas Ojea Quintana yang melawat Rakhine pada awal bulan ini.
Demonstrasi yang diketuai oleh Ahli Parlimen dari Parti Pembangunan Nasional Rakhine, Zaw Aung Maung itu turut menyaksikan penunjuk perasaan membawa sepanduk yang tertulis 'Jangan bawa keganasan ke negara kami', 'Berhenti menjadi tidak adil' dan 'Hormat kepada keputusan Presiden mengenai isu pendatang haram'.
Kira-kira 800,000 etnik Rohingya di Rakhine dijadikan sasaran diskriminasi oleh majoriti penduduk beragama Buddha di negara ini selama beberapa dekad.
Kewarganegaraan dan hak etnik tersebut tidak diiktiraf di bawah Akta Kewarganegaraan 1962.
Sebelum ini, Thein Sein menolak permintaan PBB dan kumpulan hak asasi manusia untuk membentuk pasukan penyiasat bebas atas alasan konflik yang berlaku merupakan isu dalaman negara. - AGENSI

No comments:

Post a Comment