Pages

Friday, August 31, 2012

Dua beranak terjun 10 meter

HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.
HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.

CEDERA...keadaan mangsa selepas terjun dari tingkat dua.
CEDERA...keadaan mangsa selepas
 terjun dari tingkat dua. 
 
KUALA LUMPUR: Dua beranak sempat terjun melalui tingkap setinggi 10 meter untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di bangunan tiga tingkat di Jalan Tun HS Lee, di sini, terbakar, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anak lelaki mangsa berusia 40-an terjun dahulu sebelum meminta bantuan orang ramai menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun.

Saksi kejadian, Lee Kok Siang, 24, berkata, dia kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk ke sebuah bank sebelum ternampak api dan asap tebal dari bangunan berkenaan.

“Saya nampak seorang wanita berusaha untuk terjun manakala beberapa orang lagi sedang meletakkan kusyen untuk dijadikan alas di bawah bagi membolehkan warga emas itu terjun dengan selamat,” katanya.

Katanya, sebaik kedua-dua mangsa diselamatkan, orang ramai menghubungi ambulans untuk menghantar mereka ke hospital.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.52 petang sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.


“Ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba, kedua-dua mangsa yang terperangkap sudah diselamatkan dengan bantuan orang ramai dan difahamkan mereka cedera ringan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Katanya, api marak dengan pantas berikutan struktur bangunan tiga tingkat yang dibina sekitar 1940-an itu diperbuat daripada kayu dan papan yang mudah terbakar.

“Pasukan bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dipadamkan sepenuhnya jam 4.30 petang.

“Siasatan mendapati kebakaran bermula dari tingkat dua yang menempatkan kediaman mangsa,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran bangunan yang menempatkan kediaman, restoran dan kedai menjual cakera padat digital (VCD) itu masih disiasat dan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta.

Menurutnya, 10 jentera bomba dan penyelamat dari Balai Hang Tuah, Pudu, Chow Kit, Sentul dan Pantai dikejarkan ke tempat kejadian bersama bantuan bomba sukarela Bukit Bintang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

No comments:

Post a Comment