Pages

Friday, August 31, 2012

Campur tangan perlu di Syria



Seorang anggota pemberontak Syria berehat di atas katil bersama senjata-senjata di sebuah rumah di daerah Saif al-Dawla, Aleppo, kelmarin. - Reuters
DUBAI 30 Ogos - Presiden Mesir, Mohammed Mursi berkata, pertumpahan darah di Syria hanya akan tamat jika ada 'campur tangan berkesan' dari pihak luar.
Mursi ketika berucap di majlis pembukaan persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Teheran, turut menggesa peralihan kuasa Syria kepada sistem demokrasi dan menyifatkan Damsyik sebagai kerajaan yang mengamalkan penindasan.
"Pertumpahan darah di Syria adalah tanggungjawab kita bersama dan kita semua perlu tahu bahawa ia tidak akan tamat tanpa campur tangan kita,'' katanya.
Saluran televisyen al-Jazeera melaporkan, delegasi Syria bertindak keluar dari persidangan itu ketika Mursi berucap.
Mursi berkata, perpaduan dengan rakyat Syria dalam 'menentang kerajaan yang hilang kesahihannya adalah satu tanggungjawab beretika' dan keperluan strategik.
"Kita semua perlu mengumumkan kesepakatan dengan mereka yang berusaha mencari kebebasan dan keadilan di Syria dan menterjemahkan simpati kita dengan visi politik jelas yang menyokong pemindahan kuasa kepada sistem pemerintahan demokrasi, menggambarkan kehendak rakyat Syria yang mahukan kebebasan,'' katanya.
Beliau turut melahirkan kesediaan Kaherah untuk membantu semua pihak menghentikan pertumpahan darah.
Mursi dalam pada itu turut memuji gelombang kebangkitan rakyat dikenali sebagai Arab Spring yang membolehkannya menjadi pemimpin tertinggi Mesir dan kini 'menyentuh' Syria.
Kehadiran Mursi ke persidangan NAM di Teheran turut menggambarkan hubungan yang semakin baik di antara Mesir dengan Iran, yang tegang sejak Revolusi Islam 1979.
Mursi adalah Presiden Mesir pertama ke Iran sejak revolusi tersebut. - REUTERS/AGENSI

No comments:

Post a Comment