Pages

Wednesday, August 29, 2012

Bertemu selepas 59 tahun terpisah



NORMA (duduk dua dari kiri) bersama ahli keluarganya dan Chong (duduk di tengah) dalam pertemuan yang diatur oleh Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang wanita Cina yang dibesarkan dalam keluarga Melayu dan menganut agama Islam memperoleh hadiah cukup istimewa pada Syawal ini apabila dia akhirnya dipertemukan dengan ahli keluarganya yang sebenar selepas 59 tahun terpisah.
Meskipun kini berlainan agama, Norma Hashim, 59, seorang pesara kerajaan, cukup gembira kerana berpeluang menjalin semula hubungan kekeluargaan dengan enam lagi saudara kandungnya sejak dia diserahkan kepada keluarga angkat pada tahun 1953.
Katanya, dia telah lama berusaha menjejaki ahli keluarga kandungnya itu sebelum mereka dipertemukan tengah hari semalam hasil bantuan Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA.
“Saya diserahkan kepada keluarga angkat ketika berusia tiga bulan selepas ibu bapa kami terlalu miskin untuk menyara keluarga yang besar.
“Walaupun saya tidak lagi dapat berjumpa dengan ibu bapa kerana mereka telah meninggal dunia, peluang bertemu dengan adik-beradik pun sudah cukup menggembirakan,” katanya pada majlis pertemuan itu semalam.
Turut hadir Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, tiga saudara kandung Norma iaitu Teo Hooi Nai, 63, Teo Hong Hing, 57, Teo Hong Meng, 71, serta beberapa keluarga terdekat.
Pada majlis itu, Norma ditemani oleh anak perempuannya yang juga seorang pegawai bank, Nuraida Mohd. Ali, 35, manakala suaminya, Mohd Ali. Awang, 61, seorang pesara swasta, tidak hadir kerana ada urusan lain yang tidak dapat dielakkan.
Kisah pencarian keluarga Norma ini pernah disiarkan oleh Kosmo! pada 21 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment